KUALA LUMPUR 20 Mei – Crest Builder Holdings Berhad mencatatkan peningkatan prestasi kewangan yang kukuh bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY2026) dengan keuntungan bersih melonjak 69% didorong oleh pelaksanaan projek yang lebih rancak serta penukaran pesat daripada buku tempahan sedia ada.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Crest Builder berkata, hasil kumpulan meningkat 55.5% tahun ke tahun kepada RM177.7 juta berbanding RM114.3 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun sebelumnya.
“Segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang terbesar hasil, menyumbang 81.2% daripada jumlah pendapatan keseluruhan kumpulan.
“Pendapatan daripada segmen pembinaan meningkat 72.9% kepada RM144.2 juta, disokong oleh kemajuan pesat dan pelaksanaan stabil projek-projek yang sedang berjalan. Segmen pembangunan hartanah pula menyumbang 12.1% daripada jumlah hasil, diikuti segmen perjanjian konsesi sebanyak 5.1%, manakala baki disumbangkan oleh segmen pelaburan.
“Seiring prestasi pendapatan yang lebih kukuh, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM4.8 juta, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) naik kepada RM3.8 juta, masing-masing mencatat pertumbuhan 72.6% dan 68.7%,” katanya dalam makluman tersebut.
Dari sudut prospek, kumpulan itu terus mengekalkan keterlihatan pendapatan yang kukuh dengan jumlah buku tempahan sebanyak kira-kira RM1.9 bilion setakat 31 Mac 2026, sekali gus menyediakan aliran pendapatan yang stabil untuk tahun-tahun kewangan akan datang.
Setakat tahun ini, kumpulan telah memperoleh RM513 juta kontrak baharu, melepasi lebih 70% daripada sasaran penggantian buku tempahan sebanyak RM700 juta bagi tahun tersebut.
Pencapaian ini mengukuhkan lagi momentum pertumbuhan kumpulan dalam usaha mengekalkan aliran projek yang sihat.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Eric Yong, prestasi tersebut mencerminkan kemajuan mampan operasi syarikat yang disokong oleh pelaksanaan projek yang berada dalam garis masa ditetapkan.
Beliau berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan keuntungan, mengoptimumkan pulangan pemegang kepentingan serta kekal berdisiplin dalam penawaran tender, pemilihan projek yang berhemah dan pengurusan kos berikutan ketidaktentuan harga bahan mentah serta perkembangan geopolitik global. - DagangNews.com








