Adakah KWAP Terjebak Dalam Penipuan eFishery Didorong Mentaliti FOMO? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Adakah KWAP Terjebak Dalam Penipuan eFishery Didorong Mentaliti FOMO?

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Saya sudah menulis mengenai perkara ini pada bulan Mei yang lalu. Ketika itu, saya melihat bagaimana eFishery berjaya membina keyakinan pasaran sehingga banyak dana besar dunia sanggup melaburkan modal.

 

Kali ini, saya lebih berminat dengan keputusan pelaburan KWAP. KWAP mengesahkan pelaburan sebanyak RM163.4 juta bagi pegangan kira-kira 2.51 peratus dalam eFishery. Jumlah itu ialah modal yang dilaburkan, bukannya kerugian akhir yang telah dimuktamadkan.

 

Baik. Angka sudah diperbetulkan. Penjelasan juga telah dibuat. Yang masih belum jelas ialah mengapa eFishery menjadi pilihan.


 

solar
KLIK DI SINI: Skandal eFishery Indonesia : Apabila SoftBank, Temasek dan Pelabur Gergasi Pun Tersilap Percaya

 

 

 

KWAP melabur di banyak tempat. Dalam kes eFishery, pelaburan ini boleh diletakkan di bawah mandat global. Ini bermakna pilihannya bukan terhad kepada syarikat di Indonesia, sebaliknya merentasi negara, sektor dan kelas aset.

 

Dalam pasaran sebesar itu, tiada syarikat lainkah? Takkan tiada projek yang mempunyai aliran tunai lebih jelas, keuntungan yang boleh disahkan, aset yang boleh dinilai dan pengurusan yang lebih mudah dipantau?

 

RM163.4 juta yang dilaburkan ke dalam eFishery bermakna jumlah yang sama tidak dilaburkan di tempat lain. Dalam pelaburan, itulah yang dinamakan kos peluang. Apabila satu aset dipilih, aset lain terpaksa diketepikan.

 

Jadi, eFishery sepatutnya menawarkan pulangan terlaras risiko yang cukup tinggi untuk mengatasi pilihan lain. Bukan sekadar kerana pertumbuhannya kelihatan menarik dalam model kewangan atau penilaiannya meningkat setiap kali pusingan pembiayaan baharu diumumkan.

 

Apabila semua orang nampak yakin

Ramai pelabur besar turut melabur. Ada SoftBank, Temasek dan beberapa dana antarabangsa lain.

 

Apabila terlalu ramai melabur, adakah inilah yang dikatakan herd behaviour? Seorang melabur kerana seorang lagi sudah melabur. Yang datang kemudian pula berasa lebih yakin apabila semakin banyak institusi ternama berada dalam senarai pelabur.

 

Dah macam FOMO pula. Cuma FOMO versi institusi datang bersama penasihat, jawatankuasa dan kertas cadangan setebal dua inci.


 

Bakso

 


Nanti ada pula yang mengatakan saya ini hanya pandai menulis. Tidak berada di lapangan dan tidak melakukan segala analisis.

 

Ya, betul. Saya tidak berada dalam bilik mesyuarat KWAP. Saya tidak membaca kertas pelaburannya dan tidak berjumpa dengan pengurusan eFishery.

 

Namun, dengan logik akal yang waras, kita bukan sedang menilai orang yang baru membuka akaun dagangan minggu lalu.

 

Kita bercakap tentang sebuah institusi pelaburan yang mempunyai pakar pelaburan, penganalisis, penasihat luar, jawatankuasa risiko dan mandat fidusiari. Mereka sepatutnya memahami usaha wajar, asimetri maklumat, risiko kecairan, risiko tadbir urus dan pulangan terlaras risiko.

 

Standard terhadap mereka memang wajar lebih tinggi daripada standard terhadap pelabur runcit.

 

Usaha wajar bukan sekadar menanda kotak

Sebab itu saya tertanya-tanya tentang kajian lapangan. Adakah pelanggan, penternak dan pembekal diperiksa secara bebas? Adakah hasil jualan dipadankan dengan penerimaan tunai? Adakah baki bank disahkan? Adakah lokasi operasi dipilih sendiri oleh pasukan pelaburan atau semuanya telah disusun dengan rapi oleh pihak syarikat?

 

Atau memadai dengan slaid pembentangan dan video sinematik yang disunting sehingga kolam ikan kelihatan seperti pusat teknologi di Silicon Valley?

 

Video boleh menipu, tuan-tuan dan puan-puan. Ia boleh menunjukkan operasi yang sibuk. Aliran tunai pula menunjukkan sama ada sesebuah perniagaan benar-benar menjana wang.

 

Yang peliknya, eFishery sudah melalui beberapa pusingan pembiayaan. Masih tidak cukup? Ke manakah modal sebanyak itu disalurkan?

 

Dalam analisis kewangan asas sekalipun, pengembangan yang terlalu pantas perlu dinilai bersama kemampuan syarikat menjana aliran tunai. Lebih-lebih lagi jika pertumbuhan dibiayai dengan hutang atau suntikan modal baharu tanpa aliran tunai yang sepadan.

 

Lihat sahaja kebimbangan yang sering timbul apabila sesebuah syarikat meluaskan operasi secara agresif, membina pelbagai infrastruktur dan bergantung kepada pembiayaan. Risiko kewangan akan meningkat. Pulangan daripada pengembangan pula belum tentu muncul secepat komitmen modalnya.

 

Takkan pakar tidak boleh membaca apa yang sedang berlaku dan kesannya pada masa hadapan?


 

solar

 


Kalau kembali kepada sejarah, sudah banyak amaran diberikan. Enron, Theranos, Wirecard dan FTX. Semua syarikat ini kelihatan meyakinkan sebelum angka mula tidak masuk akal. Kes-kes ini tidak sama dari sudut fakta atau tahap salah laku, tetapi semuanya mengingatkan pelabur bahawa reputasi dan pertumbuhan tidak boleh menggantikan pengesahan bebas.

 

Coraknya hampir sama. Cerita berkembang lebih pantas daripada aliran tunai. Reputasi pula dijadikan pengganti kepada pengesahan. Yang lebih parah, kehadiran pelabur besar lain dianggap sebagai bukti bahawa semakan sudah dibuat.

 

Usaha wajar tidak sepatutnya menjadi proses untuk membantu sesuatu pelaburan diluluskan. Sebaliknya, ia sepatutnya mencari sebab untuk membatalkan pelaburan itu sebelum wang dilaburkan.

 

Bukan soal rugi tetapi soal proses

Dalam pengurusan portfolio, pelaburan tanpa kerugian hampir mustahil. Kalau KWAP melaporkan kerugian, itu perkara biasa.

 

Yang masih bermain dalam fikiran saya ialah bagaimana sebuah institusi yang mempunyai segala kepakaran, pilihan pelaburan global dan tanggungjawab terhadap wang awam boleh berasa lega hanya kerana pelabur besar lain turut melakukan kesilapan yang sama.

 

Kalau semua orang hebat masuk ke tempat yang sama, tidak semestinya tempat itu bagus. Kadang-kadang semua orang cuma tersalah masuk kolam. - DagangNews.com

 

Penafian: Artikel ini ialah ulasan peribadi penulis berdasarkan maklumat awam yang tersedia pada tarikh penulisan. Ia tidak membuat tuduhan salah laku terhadap KWAP, pegawainya, penasihatnya atau mana-mana pihak yang terlibat dalam keputusan pelaburan tersebut. Sebarang siasatan yang sedang berlangsung hendaklah diberikan ruang dan semua pihak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Angka kerugian atau nilai pemulihan juga boleh berubah apabila proses undang-undang dan pemulihan aset selesai. Artikel ini bertujuan membincangkan proses pemilihan pelaburan, pengurusan risiko dan tadbir urus institusi, bukan memberikan nasihat pelaburan.