KUALA LUMPUR 30 Dis – Crescendo Corporation Berhad mencatatkan penurunan untung bersih sebanyak 31% tahun ke tahun (YoY) kepada RM70.3 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Oktober 2025 (3QFY26).
Menurut kumpulan tersebut, kemerosotan berkenaan disebabkan ketiadaan keuntungan sekali sahaja daripada penjualan tanah berkaitan pusat data yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Selain itu jelasnya, pendapatan syarikat turut menyusut 6% kepada RM217.4 juta berbanding RM231.2 juta sebelumnya, manakala untung bersih sesaham merosot kepada 8.35 sen daripada 12.08 sen.
"Walaupun prestasi lebih rendah, Crescendo mengumumkan dividen khas satu peringkat iaitu enam sen sesaham, menjadikan jumlah bayaran setakat tahun ini tujuh sen," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu, segmen pembangunan hartanah dan pembinaan kekal sebagai penyumbang utama, dengan pendapatan RM201.7 juta dan keuntungan operasi RM85.5 juta, mewakili lebih 78% hasil kumpulan.
Bagaimanapun tambahnya, bagi tempoh sembilan bulan tahun ini yang berakhir 31 Oktober 2025, untung bersih syarikat itu merosot ketara kepada RM93.7 juta berbanding RM523.72 juta pada tahun lalu.
Penyusutan berkenaan jelas Crescendo, namun masih lagi sejajar dengan penurunan hasil sebanyak 66% kepada RM362.76 juta, dan ia kekal optimis terhadap prospek pasaran hartanah di sekitar Johor.
"Negeri ini disokong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ), selain pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas yang dijangka menyokong permintaan," katanya.
Setakat akhir Oktober 2025, bank tanah Crescendo berjumlah 1,006 hektar ekar, manakala dalam tempoh setahun yang akan datang, syarikat itu merancang banyak projek kediaman dan perindustrian.
Kumpulan pemaju hartanah berkenaan menjangka nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan mampu mencecah RM289 juta, dan memberikan potensi keuntungan jangka panjang. - DagangNews.com








