KUALA LUMPUR 31 Okt – Chin Teck Plantations Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 413.66% kepada RM115.74 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (4QFY25).
Ia naik berbanding hanya RM22.53 juta direkodkan pada 4QFY24 sebelumnya, didorong oleh peningkatan hasil dan sumbangan keuntungan luar biasa daripada syarikat bersekutunya iaitu West Synergy Sdn Bhd.
Hasil kumpulan turut meningkat 15.37% kepada RM96.65 juta, disokong kenaikan harga jualan purata (ASP) serta bilangan jualan minyak sawit mentah (MSM), buah tandan segar (BTS) dan isirong sawit (PK).
"Pengeluaran dan pembelian BTS yang lebih tinggi meningkatkan pengeluaran MSKM dan PK. Kos jualan turut meningkat seiring kenaikan pembelian," kata Chin Teck dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Jelasnya, pendapatan faedah bertambah, namun pendapatan dividen menurun, manakala pendapatan lain meningkat disebabkan keuntungan nilai saksama yang lebih tinggi bagi aset biologi boleh guna.
Sementara itu tambahnya, perbelanjaan lain berkurang disebabkan penurunan kerugian terjemahan mata wang asing, tetapi bahagian hasil daripada syarikat bersekutu dan usaha sama pula adalah berubah.
Chin Teck menjelaskan, ia menyaksikan rekod kerugian bertukar kepada keuntungan, dijana keuntungan besar hasil pelupusan tanah oleh West Synergy Sdn Bhd kepada Gamuda DC Infrastructure Sdn Bhd.
"Bagi tahun kewangan penuh yang berakhir pada 31 Julai 2025 (FY25), keuntungan bersih kumpulan naik sebanyak 129.56% kepada RM200.51 juta berbanding hanya RM87.35 juta pada FY24," katanya lagi.
Pendapatan tahunan juga meningkat kira-kira 16.84% kepada RM309.47 juta daripada RM264.86 juta, didorong oleh harga jualan lebih tinggi bagi BTS, MSM dan PK, selain peningkatan jumlah jualan.
Walaupun pengeluaran BTS di ladang kelapa sawit didapati sedikit menurun kata Chin Teck, pembelian produk komoditi berkenaan yang lebih tinggi kemudian menyokong pertumbuhan keseluruhan syarikat.
Ia turut memaklumkan yang operasi ladang di Lampung, Indonesia sudah disambung semula, dengan kawasan tuaian mencapai 53.61%, selepas terjejas akibat ketegangan di perkampungan sekitarnya.
"Bagaimanapun, aktiviti penuaian di ladang usaha sama di wilayah Sumatera Selatan, di negara tersebut masih tertangguh sementara menunggu kelulusan dari pihak berkuasa tempatan," jelasnya.
Secara keseluruhan, prestasi tahun kewangan 2025 menunjukkan pemulihan kukuh operasi ladang dan pengurusan korporat, yang memberi impak ketara kepada keuntungan bersih. - DagangNews.com








