Untung bersih CelcomDigi pada 2QFY25 naik kepada RM438 juta, disokong pertumbuhan segmen pascabayar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih CelcomDigi pada 2QFY25 naik kepada RM438 juta, disokong pertumbuhan segmen pascabayar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos – CelcomDigi Berhad mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), disokong oleh pertumbuhan berterusan segmen pascabayar.

 

Syarikat telekomunikasi itu melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM438.84 juta bagi suku tersebut, meningkat daripada kira-kira RM406.02 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan tersebut turut dipacu segmen jalur lebar rumah dan gentian. Pendapatan sesaham turut meningkat kepada 3.74 sen berbanding 3.46 sen sebelum ini.

 

"Perolehan suku tahunan naik kepada RM3.18 bilion berbanding RM3.11 bilion pada 2QFY24," kata CelcomDigi dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Tambahnya, bagi tempoh enam bulan pertama (1HFY25), keuntungan bersih berjumlah RM822.71 juta berbanding RM782.48 juta pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan separuh tahun meningkat kepada RM6.39 bilion daripada RM6.28 bilion

 

Berikutan prestasi ini, kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 3.8 sen sesaham, yang akan diniagakan tanpa kelayakan pada 11 September 2025 dan dibayar pada 30 September 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata, pencapaian suku kedua mencerminkan pelaksanaan strategik syarikat dalam menjana pertumbuhan jangka panjang secara mampan, perbelanjaan modal yang berhemah serta kecekapan operasi menyeluruh.

 

"Kami gembira kerana strategi dan keutamaan yang dilaksanakan memberikan pulangan seperti yang diharapkan, meskipun berdepan persaingan sengit dan landskap pasaran yang terus berubah," katanya dalam satu kenyataan.


Bagi segmen pascabayar, pendapatan meningkat 3.8% tahun ke tahun kepada RM1.08 bilion, disokong oleh pertambahan pelanggan sebanyak 5.8%.

 

Kadar purata hasil setiap akaun (ARPA) meningkat RM2 kepada RM107, dengan pertumbuhan ketara dalam pelan konvergen, jelajah antarabangsa (roaming) dan perkhidmatan nilai tambah (VAS).

 

Segmen prabayar pula mencatat pendapatan RM1.05 bilion, susut sedikit berikutan pengurangan 2.9% pelanggan susulan pelaksanaan inisiatif rasionalisasi IT.

 

Purata hasil setiap pengguna (ARPU) kekal pada RM28, manakala pendapatan jalur lebar rumah dan gentian melonjak 45.2% kepada RM61 juta.

 

"Perkembangan ini didorong oleh sambutan terhadap pelan CelcomDigi One serta permintaan tinggi terhadap rumusan akses tanpa wayar tetap (FWA) yang menawarkan sambungan pantas," katanya.

 

Sementara itu, pendapatan daripada rumusan perusahaan meningkat 10.3%, dipacu oleh permintaan berterusan dalam sektor sambungan digital, teknologi maklumat dan perkhidmatan keselamatan siber.

 

CelcomDigi turut mencatat kejayaan melalui beberapa kontrak utama dalam sektor perusahaan dengan prestasi kukuh itu membantu kedudukan kumpulan dalam pasaran telekomunikasi tempatan.

 

Tambahnya, ia selaras dengan fokus syarikat untuk menawarkan rumusan digital secara menyeluruh kepada pelanggan individu dan perusahaan. - DagangNews.com