Untung bersih CEKD cecah RM7.27 juta pada FY25 dipacu permintaan kukuh domestik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih CEKD cecah RM7.27 juta pada FY25 dipacu permintaan kukuh domestik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Dis - CEKD Berhad kekal berdaya tahan apabila mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah sebanyak RM7.27 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Ogos 2025. 


Penyedia rumusan acuan potongan itu berkata, prestasi tersebut dicapai susulan peningkatan hasil kumpulan sebanyak 2.3% kepada RM37.08 juta, rekod tertinggi bagi tahun kedua berturut-turut. 


Tambah kumpulan berkenaan, pencapaian memberangsangkan ini didorong oleh beberapa faktor utama, antaranya permintaan domestik yang kukuh terutamanya sumbangan jualan daripada pasaran tempatan.


"Sektor pembungkusan dan percetakan domestik syarikat ini melonjak secara signifikan sebanyak 28.2% kepada kira-kira RM34.19 juta," kata CEKD dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Selain itu jelasnya, peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak 5.4% kepada RM10.01 juta, dengan sebahagian besarnya dipacu oleh kos kewangan yang lebih rendah sepanjang tahun tersebut.


Pada masa sama, syarikat mengekalkan tumpuan terhadap pengurusan kos yang berhemat dan kecekapan operasi bagi mengimbangi cabaran kenaikan kos bahan mentah serta turun naik nilai mata wang asing.


CEKD menambah, pengambilalihan anak syarikat baharu, Shin Fuji Labels Sdn Bhd, membolehkan CEKD memasuki industri hiliran percetakan label, dan memperkukuh rantaian nilai ekosistem pembungkusan.


"Meskipun jualan eksport mencatatkan penyusutan disebabkan prospek global yang berhati-hati, daya tahan segmen domestik membolehkan kumpulan mengekalkan momentum pertumbuhan mampan," katanya lagi.


Sementara itu, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif, Datuk Zulkifli Adnan menyifatkan prestasi FY25 merupakan satu lagi tahun kemajuan stabil dengan kumpulan ini berjaya mencapai rekod hasil yang tertinggi.


Pencapaian ini juga membuktikan kekuatan model perniagaan dan keberkesanan strategi pertumbuhan syarikat dalam persekitaran ekonomi dinamik, khususnya dalam sektor pembungkusan dan percetakan.


Walaupun jualan eksport menyusut 69.8% disebabkan prospek global yang berhati-hati, lonjakan signifikan jualan domestik sebanyak 28.2% membolehkan Kumpulan mengekalkan unjuran hasil kuat.


"CEKD meskipun berdepan cabaran peningkatan kos bahan mentah dan turun naik mata wang, masih mencatatkan PBT yang tinggi sebahagian besarnya didorong oleh kos kewangan lebih rendah," katanya.


Zulkifi turut menyifatkan pengambilalihan Shin Fuji Labels sebagai langkah strategik memasuki industri hiliran percetakan label, serta mempelbagaikan portfolio dan meluaskan data pelanggan.


Pihak pengurusan tambahnya, kekal optimistik secara berhati-hati bagi FY26, dengan tumpuan utama adalah untuk memperkukuh kecekapan operasi menerusi pengurusan kewangan yang lebih berhemat.


Jelas beliau, CEKD turut berhasrat mengembangkan jejaknya di pasaran ASEAN, serta terus melabur dalam teknologi dan inovasi bagi mengekalkan daya saing. - DagangNews.com