Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM189.3 juta bagi 9M2025, akibat kejatuhan dagangan sekuriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Bursa Malaysia susut kepada RM189.3 juta bagi 9M2025, akibat kejatuhan dagangan sekuriti

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 OktBursa Malaysia Berhad mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 13.5% suku ke suku (QoQ) kepada RM86.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025.


Syarikat dagangan saham yang diperbadankan pada 1975 itu berkata, perkembangan tersebut didorong oleh faktor peningkatan secara purata nilai dagangan harian (ADV) dalam pasaran sekuriti.


Bagaimanapun, bagi sembilan bulan pertama 2025, keuntungan selepas cukai, zakat dan kepentingan minoriti (PATAMI) menyusut 21.5% kepada RM189.3 juta, berbanding RM241.2 juta pada 9M2024.


"Ini akibat hasil operasi turun 10.4% kepada RM518.1 juta, daripada RM578.5 juta sebelumnya dengan punca utama ialah kejatuhan hasil dagangan pasaran sekuriti," katanya dalam satu kenyataan.


Jelas Bursa Malaysia, kemerosotan berkenaan dicatatkan sebanyak 25% kepada RM225.2 juta, yang disebabkan oleh penurunan 25.6% ADV kepada RM2.5 bilion daripada RM3.4 bilion pada 9M2024.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Fad’l Mohamed menjelaskan suasana pasaran tidak menentu termasuk rundingan tarif Amerika Syarikat (AS) menjejaskan sentimen pelabur pada separuh pertama 2025.


“Walaupun begitu, kami melihat pemulihan momentum pada suku ketiga dengan hasil dagangan pasaran sekuriti meningkat 13.3% QoQ, dan ini pula membantu PBT naik kepada RM86.3 juta," jelas beliau.


Dari segi perbelanjaan pula tambahnya, kos operasi meningkat kira-kira 3.5% kepada RM282.8 juta, didorong oleh kos penyelenggaraan teknologi maklumat dan perbelanjaan operasi lain yang tinggi.


Segmen lain katanya, menunjukkan prestasi bercampur dengan Pasaran Derivatif mencatat peningkatan hasil 2.8% kepada RM83.1 juta, dipacu jumlah tinggi dagangan kontrak Futures Minyak Sawit Mentah.


Sementara Pasaran Islam pula jelas Fad'l, melonjak sebanyak 30% kepada RM16.9 juta, disokong oleh aktiviti dagangan yang lebih tinggi dalam Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) dan Bursa Gold Dinar.


"Sepanjang 9M2025, Bursa Malaysia turut menyambut 41 penyenaraian baharu yang berjaya mengumpul RM4.4 bilion, serta menambah RM22.3 bilion kepada jumlah permodalan pasaran," kata beliau lagi.


Bagi mencerminkan realiti pasaran global yang mencabar, Bursa Malaysia turut menyemak semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 2025, dengan sasaran PBT baharu antara RM314 juta hingga RM347 juta.


Ia lebih tinggi berbanding julat asal RM369 juta hingga RM408 juta, manakala sasaran permodalan pasaran terbitan awam permulaan (IPO) juga disemak kepada RM25.2 bilion daripada RM40.2 bilion.


Selain itu tambah Fad'l, pihaknya akan mengukuh kedudukan sebagai bursa pelbagai aset memacu pertumbuhan melalui platform pengumpulan dana dan meningkatkan kecairan pasaran. - DagangNews.com