KUALA LUMPUR 28 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan Bursa Malaysia Bhd mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM281 juta pada FY25 kesan daripada pendapatan sekuriti lebih rendah serta kontrak deriviatif yang mendatar.
Kumpulan itu berkata, unjuran bagi FY25 itu adalah disebabkan purata dagangan harian (ADV) lebih rendah iaitu sebanyak RM3 bilion berbanding RM3.7 bilion sebelum ini selain kontrak deriviatif yang mendatar berbanding peningkatan 5% dari tahun ke tahun sebelum ini.
"Kami menjangkakan berlakunya dagangan lebih berhati-hati akibat dasar baharu Donald Trump.
"Oleh itu, kami menurunkan unjuran ekuiti ADV, menjadikan pendapatan FY25/FY26 lebih rendah sebanyak 14%/12%," katanya dalam atu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Bursa Malaysia catat peningkatan untung bersih sebanyak 22.9% kepada RM310.1 juta pada FY24
Terdahulu, prestasi teguh Bursa Malaysia didorong pertumbuhan kukuh dalam pasaran sekuriti dan derivatif serta perniagaan data, yang menyumbang kepada peningkatan 27.8% dalam hasil operasi kepada RM757.7 juta, meningkat daripada RM592.8 juta pada FY23.
Perbelanjaan operasi meningkat 26.8% kepada RM373.4 juta pada FY24, berbanding RM294.5 juta tahun sebelumnya, disebabkan kos kakitangan yang lebih tinggi, penyelenggaraan IT, yuran perkhidmatan dan pembalikan peruntukan yang dicatatkan pada FY23.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, untung bersih 4QFY24 bagaimanapun susut 20% kepada RM69 juta dari suku tahun ke suku tahun dengan hasil operasi 12% lebih rendah dan peningkatan perbelanjaan operasi sebanyak 5%.
Katanya, pulangan dagangan daripada ekuiti jatuh 25% dari suku tahun ke suku tahun sebanyak RM2.88 bilion, sebahagiannya diimbangi oleh pusingan dagangan yang lebih tinggi daripada derivatif (+14%) pada lebih banyak kontrak FCPO yang didagangkan (+28%).
Maybank IB berkata, ueuntungan bersih FY24 meningkat 23% dari tahun ke tahun didorong hasil dagangan dan bukan dagangan.
Katanya, pulangan dagangan daripada ekuiti melonjak 43% dengan ADV 50% lebih tinggi pada RM3.44 bilion semasa pusingan dagangan daripada derivatif meningkat 27% dari tahun ke tahun sebanyak 28%/25% lebih tinggi kontrak FCPO/FKLI.
"Hasil FY24 bukan dagangan naik 11% bagi yuran perkhidmatan penyenaraian & penerbit yang lebih tinggi (55 IPO; FY23: 42), yuran perkhidmatan depositori dan yuran data pasaran (lebih banyak pelanggan)," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM8.35 sesaham. - DagangNews.com








