KUALA LUMPUR 27 Jan - Untung bersih Bursa Malaysia diramal menyusut antara 23.3% hingga 29.3% dari suku tahun ke suku tahun bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) kesan daripada penurunan hasil.
CIMB Securities berkata, ia didorong pengurangan 24.7% dari suku tahun ke suku tahun dalam nilai purata nilai harian (ADV) sekuriti kepada RM2.9 bilion berbanding RM3.8 bilion pada 3QFY24.
Katanya, perkara itu telah menghasilkan nisbah kos kepada pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 52% hingga 54% (3QFY24: 45.3%).
Firma penyelidikan itu berkata ADV yang lebih rendah pada 4QFY24 mencerminkan kebimbangan pasaran terhadap keputusan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik yang meningkat di Asia Barat.
“Oleh itu, keuntungan bersih FY24 diunjurkan pada RM302 juta hingga RM307 juta (36.6% hingga 38.9% tahun ke tahun), mewakili 98.7% hingga 100.3% daripada ramalan kami dan 97.2% hingga 98.8% daripada ramalan konsensus FY24.
“Kami menjangka Bursa akan mengisytiharkan dividen akhir sesaham (DPS) sebanyak 22.1 sen, menjadikan jumlah DPS FY24 kepada 40.1 sen, bersamaan dengan nisbah pembayaran sebanyak 106%,” katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun ia sejajar dengan pembayaran FY23, unjurannya mengambil kira baki tunai sedia ada Bursa Malaysia sebanyak RM436.3 juta pada 3QFY24 dan ketiadaan pelaburan penting pada 4QFY24.
CIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY26, dengan unjuran ADV sebanyak RM3.4 bilion dan RM3.5 bilion, masing-masing.
“Selain itu, kami menganggarkan nisbah CTI (kos-kepada-pendapatan) FY25-FY26 adalah sekitar 47.5% hingga 48%.
“Unjuran ADV tinggi yang berterusan disokong oleh pembaharuan dasar Malaysia dan pertumbuhan pendapatan korporat yang sihat sebanyak 8% pada FY25, yang dijangka mengekalkan aktiviti pasaran yang kukuh,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan panggilan "pegang" dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM9.53 sesaham.- DagangNews.com








