KUALA LUMPUR 3 Jun — Bank Islam Malaysia Berhad diramal mencatatkan penyusutan keuntungan bersih kepada 4 peratus untuk tahun kewangan 2025 disebabkan faktor lonjakan besar kos kredit, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan bank berkenaan turut diunjur merekodkan kemerosotan keuntungan bersih yang tinggi sedikit kepada 4.2 peratus bagi FY26 setelah semakan semula ramalan pertumbuhan hasil lebih rendah.
Tambahnya, ia mengambil kira jangkaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang lebih perlahan dan situasi itu seterusnya boleh mempengaruhi kemungkinan berlaku pula pengurangan untuk kadar dasar semalam pada tahun ini.
"Kami telah menyemak semula hasil Bank Islam untuk FY25 dan FY 26 diunjur rendah masing-masing sebanyak 4.0 peratus dan 4.2 peratus dengan penilaian adalah kira-kira adil pada tahap semasa," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Berdasarkan situasi tersebut, firma berkenaan terus mengekalkan saranan "pegang" ke atas kumpulan perbankan itu dengan harga sasaran sesahamnya pula diturunkan kepada kira-kira RM2.50 berbanding sebanyak RM2.65 sebelum ini.
Ia turut merujuk keputusan kewangan bank tersebut bagi suku pertama tahun ini yang berakhir 31 Mac 2025 apabila di bawah jangkaan dengan merekodkan penyusutan keuntungan kepada RM126 juta, merosot 3 peratus tahun ke tahun.
Berdasarkan perbandingan suku ke suku pula, Bank Islam mencatatkan kemerosotan sebanyak 27 peratus serta ia mewakili kira-kira 21 peratus daripada keseluruhan ramalan daripada Maybank IB dan unjuran konsensus sendiri.
"Tebaran pendapatan bersih juga menjunam 7 mata asas kepada 2.06 peratus pada 1QFY25 dengan kualiti aset terus jatuh, mengakibatkan kos kredit tinggi dan tindanan pengurusan tertunggak sebanyak RM44.8 juta," kata Maybank IB. - DagangNews.com








