KUALA LUMPUR 28 Ogos - Axiata Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM42.5 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), merosot 84.3% berbanding RM270.8 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.
Prestasi suku tahunan kumpulan turut menyaksikan hasil susut 3.2% tahun ke tahun kepada RM2.87 bilion.
Axiata berkata, prestasi keuntungan bagi tempoh tersebut terjejas oleh kerugian pertukaran asing sebanyak RM31.7 juta, terutamanya berpunca daripada penilaian semula pinjaman dan modal kerja dalam denominasi dolar AS.
Ini berbanding keuntungan pertukaran asing yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi enam bulan pertama FY26 (1HFY26), keuntungan bersih kumpulan berkurangan 26.6% kepada RM316.3 juta daripada RM430.7 juta setahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh enam bulan itu pula menurun 3.2% kepada RM5.67 bilion daripada RM5.86 bilion.
Isytihar Dividen 5.5 sen
Walaupun prestasi keuntungan dan hasil lebih rendah, Axiata mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 5.5 sen sesaham bagi FY26, meningkat berbanding lima sen sesaham yang dibayar pada tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Axiata, Nik Rizal Kamil berkata, prestasi separuh pertama tahun ini menunjukkan kekuatan portfolio telekomunikasi dan teknologi kumpulan, selain kemajuan yang dicapai menerusi strategi Axiata28: Advancing Asia.
Menurut beliau, Axiata mula melihat manfaat daripada struktur pasaran yang lebih kukuh, sinergi penggabungan, kecemerlangan operasi dan pendekatan peruntukan modal yang lebih berdisiplin.
“Kami semakin melihat manfaat daripada struktur pasaran yang lebih kukuh, sinergi penggabungan, kecemerlangan operasi dan peruntukan modal yang berdisiplin, yang diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih kukuh, sumbangan portfolio yang lebih meluas serta pulangan mampan kepada pemegang saham.
“Sebagai Pengurus Aset Pintar, peranan kami adalah untuk membolehkan setiap perniagaan merealisasikan potensi sepenuhnya sambil memperuntukkan modal kepada bidang yang mampu mencipta nilai paling tinggi,” katanya.
Dalam kalangan perniagaan telekomunikasi kumpulan, CelcomDigi mencatatkan hasil sebanyak RM6.4 bilion bagi enam bulan pertama, disokong pertumbuhan dalam segmen mudah alih, perkhidmatan rumah dan gentian optik serta penyelesaian perusahaan.
Sementara itu, hasil Robi susut 3.3% kepada RM1.70 bilion, terutamanya disebabkan penyusutan nilai taka Bangladesh berbanding ringgit.
Hasil Dialog pula menurun 6.8% kepada RM1.20 bilion, terjejas oleh penyusutan nilai rupee Sri Lanka. - DagangNews.com








