KUALA LUMPUR 23 Jun — Axiata Group Berhad dibimbangi mencatatkan penyusutan untung bersih bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 susulan penggabungan XL dan Smartfren, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kesan daripada langkah itu yang diselesaikan pada 16 April 2025 mengakibatkan risiko penurunan hasil secara berturut-turut sepanjang tiga tahun berkenaan.
Katanya lagi, ia mengunjurkan keuntungan bersih teras berkurangan untuk FY25, FY26 dan FY27 masing-masing kira-kira 31%, 33% dan 33% kepada sebanyak RM450 juta, RM469 juta dan RM513 juta.
"Kami percaya ia dipengaruhi faktor turun naik pendapatan, pendedahan tinggi kepada pasaran luar dan ketidaktentuan makroekonomi kepada Axiata," kata Phillip Capital dalam satu nota kajiannya.
Tambah firma itu, kenaikan harga saham di negara-negara tertentu dan kemerosotan keadaan ekonomi serantau juga antara punca yang boleh menjejaskan lagi keuntungan bersih kumpulan berkenaan.
Pemisahan XL Axiata menyaksikan kumpulan telekomunikasi tersebut dan Sinar Mas dari Indonesia masing-masing memegang 34.8 peratus berbanding sebelum itu dikuasai 66.5 peratus oleh Axiata.
XL Axiata memiliki 59 juta pelanggan atau 16 peratus pasaran di negara jiran berkenaan manakala Smartfren yang dimiliki Sinar Mas mempunyai 36 juta pelanggan atau hanya 10 peratus pasaran.
"Axiata tidak menjangkakan sebarang sumbangan dividen daripada XL-Smartfren selepas dua tahun pertama penggabungan, yang berpotensi disambung semula dari 2027 dan seterusnya," kata firma itu.
Phillip Capital namun berkata, bayaran penyamaan AS$400 juta (RM2.1 bilion) daripada penggabungan itu dijangka mengurangkan hutang dan menyokong tumpuan Axiata bagi mengukuhkan kunci kira-kira.
Katanya, walaupun aliran tunai kelihatan baik dan usaha penambahbaikan margin juga menggalakkan, risiko secara berterusan dan halangan luaran boleh menghalang perolehan nilai jangka sederhana.
Berdasarkan perkembangan itu, ia mengekalkan saranan 'pegang' ke atas Axiata dengan harga sasaran sesaham pula diturunkan kepada RM2.08 berbanding RM2.24 sebelum ini. - DagangNews.com








