Untung bersih Aneka Jaringan cecah RM6.32 juta berikutan peroleh banyak projek pusat data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Aneka Jaringan cecah RM6.32 juta berikutan peroleh banyak projek pusat data

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Dis - Aneka Jaringan Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) mencecah RM6.32 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Ogos 2025 (FY25).


Prestasi kukuh ini didorong terutamanya oleh pemerolehan banyak projek pusat data (DC), peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos lebih ketat, serta pertumbuhan pendapatan yang signifikan.


Syarikat pakar pembinaan ruang bawah tanah dan asas ini melaporkan, sebahagian besar tender itu diterima daripada operasi pembinaan di Malaysia, khususnya melalui projek yang berkaitan DC.


"Lonjakan pendapatan naik sebanyak 22.2% kepada RM258.38 juta berbanding RM211.48 juta pada tahun kewangan sebelumnya (FY24)," kata Aneka Jaringan dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Peningkatan keuntungan ini mencerminkan keupayaan kumpulan itu menukar pertumbuhan hasil kepada keuntungan mampan, dan Aneka Jaringan Sdn Bhd (AJSB) menjadi penyumbang utama iaitu RM231.86 juta.


Anak syarikat itu berjaya memperoleh projek berjumlah RM266.09 juta sepanjang tahun ini, dengan RM94.88 juta terdiri projek DC, termasuk kontrak Quantum Alpha Sdn Bhd bernilai RM72.30 juta.


Di Indonesia, subsidiarinya, PT Aneka Jaringan Indonesia (PTAJI) menunjukkan daya tahan walaupun berhadapan ketidaktentuan politik domestik, dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM25.87 juta.


"Seksyen tenaga boleh diperbaharui (RE) melalui PT Aneka Jaringan Energy (PTAJE) mula menunjukkan perkembangan dengan perolehan kontrak solar fotovoltaik (PV) yang bernilai RM1.05 juta," katanya.


Setakat 31 Ogos 2025, Aneka Jaringan memiliki buku tempahan terkumpul mencecah kira-kira RM278.33 juta, yang dijangka memberikan kebolehlihatan pendapatan kumpulan itu bagi tempoh lebih setahun. 


Syarikat tersebut juga katanya, berjaya memperkukuh kunci kira-kira dengan mengurangkan nisbah gear bersih atau hutang kepada 0.29 kali berbanding sebanyak 0.61 kali pada tahun sebelumnya.


Pengurusan kumpulan menyatakan keyakinan berhati-hati terhadap prestasi bagi tahun kewangan 2026,  dengan merancang untuk terus memberi tumpuan kepada kepelbagaian sektor dan wilayah tertentu.


"Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan yang tinggi kepada pasaran tunggal serta menyokong pertumbuhan jangka panjang," jelas Aneka Jaringan. - DagangNews.com