KUALA LUMPUR 8 Julai - Aeon Credit Service (M) Bhd kekal berhati-hati disebabkan ketidaktentuan dasar perdagangan dan tarif global yang berterusan, ketegangan geopolitik semasa, tekanan inflasi dan turun naik dalam pasaran kewangan global.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mei 2025 (1QFY26), Aeon Credit mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 27% kepada RM77.5 juta atau pendapatan sesaham sebanyak 15.19 sen.
Penyusutan itu disebabkan perbelanjaan operasi dan faedah yang lebih tinggi, pendapatan lain yang lebih rendah serta kerugian yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.
Bagaimanapun, hasil kumpulan meningkat sebanyak 15% kepada RM599.92 juta, disumbangkan pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang lebih kukuh.
Pada 1QFY26, kumpulan itu berkata, nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) meningkat kepada 2.57% setakat 31 Mei 2025 berbanding 2.46% pada tahun sebelumnya dan tindakan pembetulan telah diambil untuk menangani peningkatan dalam nisbah NPL tersebut.
Nisbah perlindungan kerugian pinjaman kekal sihat pada 217% setakat 31 Mei 2025, namun sedikit rendah berbanding 222% yang dicatatkan pada 31 Mei 2024.
Nisbah jumlah perbelanjaan operasi berbanding hasil bagi 1QFY26 juga meningkat kepada 68.5% berbanding 63.5% pada 1QFY25, terutamanya disebabkan kerugian rosot nilai yang lebih tinggi ke atas penerimaan pembiayaan.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, mereka akan terus berhati-hati dengan memberi penekanan kepada pertumbuhan aset berkualiti dan pemantauan rapi terhadap risiko kredit dalam portfolio pembiayaannya.
Bagaimanapun, kumpulan itu menjangkakan dapat mengekalkan momentum perniagaannya dengan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026.- DagangNews.com








