Untung Bermaz Auto susut 50% pada 2QFY26, disebabkan kejatuhan jualan Mazda dan Kia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Bermaz Auto susut 50% pada 2QFY26, disebabkan kejatuhan jualan Mazda dan Kia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 DisBermaz Auto Berhad mencatatkan penurunan ketara dalam untung sebelum cukai (PBT) bagi suku kedua kewangan berakhir 31 Oktober 2025, susut 50.2% kepada RM28.4 juta.


Kumpulan itu berkata, penurunan ini didorong terutamanya oleh faktor jualan pasaran domestik yang lemah untuk model Mazda dan Kia apabila sudah menghampiri penghujung kitaran hayat produk.


Selain itu, tambah syarikat pengedaran pelbagai jenama kenderaan tersebut, persaingan yang sengit daripada model kenderaan buatan China dengan menawarkan harga rendah turut menjejaskan hasil.


"Bagi tempoh enam bulan pertama FY26, ia merekodkan PBT RM47.3 juta berbanding RM154.8 juta pada tempoh sama tahun lalu, susut 69.4%," jelas Bermaz Auto dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Penurunan ini turut dipengaruhi oleh kerugian syarikat sekutu, termasuk Kia Malaysia Sdn Bhd, akibat kos kapasiti terbiar dari pengeluaran dipasang (CKD) yang lebih rendah daripada jangkaan.


Walaupun menghadapi cabaran, jualan model import dipasang (CBU) seperti XPeng X9, Mazda CX-60 dan Mazda3 1.5L mencatatkan prestasi menggalakkan sejak diperkenalkan dari Mac hingga Oktober 2025.


Ia meredakan impak ke atas hasil kumpulan, manakala kos berkaitan Skim Saham Pekerja direkodkan sebanyak RM1.1 juta pada tempoh suku kedua, lebih rendah berbanding RM2.0 juta tahun sebelumnya.


Bagi 2QFY26, Lembaga Pengarah Bermaz Auto mengisytiharkan dividen interim 1.25 sen sesaham bercukai tunggal, dengan tarikh kelayakan pada 23 Januari 2026 dan bayaran pada 6 Februari 2026.


"Memandangkan industri automotif tempatan masih dipengaruhi oleh persaingan sengit dan inflasi, ia kekal berhati-hati terhadap prestasi kumpulan bagi baki FY26," kata kumpulan tersebut. - DagangNews.com