KUALA LUMPUR 21 Mei – Prestasi suku pertama Sunway Healthcare Holdings Berhad hambar dengan keuntungan merosot secara suku ke suku (QoQ) disebabkan operasi susut pada musim perayaan.
Bagaimanapun, penganalisis percaya kumpulan penjagaan kesihatan itu sebenarnya sedang memasuki fasa pertumbuhan lebih agresif dipacu pelancongan perubatan dan pengembangan kapasiti katil.
Antaranya, Hong Leong Investment Bank (HLIB) mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat itu dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.05 sesaham berbanding RM1.63 sebelum ini.
"Keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) 1QFY26 Sunway Healthcare sebanyak RM45.7 juta adalah dalam jangkaan walaupun susut 60% berbanding suku sebelum itu," katanya.
Menurut firma penyelidikan tersebut, prestasi lebih lemah itu hanya berpunca daripada faktor bermusim susulan gangguan operasi sepanjang Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
HLIB menjangka momentum kembali kukuh berperingkat disokong operasi lebih baik di Sunway Medical Centre Penang selain sumbangan Sunway Medical Centre Damansara dan Sunway Medical Centre Ipoh.
"Kami turut melihat potensi kenaikan harga saham Sunway Healthcare masih besar berikutan pegangan pelabur asing yang rendah sekitar 8% berbanding IHH Healthcare Berhad sebanyak 14.9%," katanya.
Dari sudut operasi ujarnya, hasil 1QFY26 meningkat 23.8% tahun ke tahun (YoY) disokong pertumbuhan pesakit di semua hospital serta peningkatan hasil pesakit asing sebanyak 47.3% kepada RM86.6 juta.
Sehubungan itu, berdasarkan perkembangan semasa, HLIB mengunjurkan pendapatan kumpulan tersebut mampu berkembang kira-kira 19.2% pada tahun ini dengan keuntungan teras meningkat sebanyak 20.5%.
Prestasi Lemah Hanya Sementara, Asas Pertumbuhan Masih Kukuh
Sementara itu, AmInvestment Bank (AmInvest) turut mengekalkan saranan 'beli' dengan TP yang lebih tinggi iaitu RM2.22 sesaham, sambil menilai kelemahan keputusan suku pertama hanya bersifat sementara.
"Keadaan ini tidak menggambarkan kekuatan sebenar operasi Sunway Healthcare, kerana keuntungan kasar naik 10% YoY kepada RM43 juta walaupun terjejas oleh kos penyenaraian di bursa," tambahnya lagi.
Firma itu menegaskan pertumbuhan asas perniagaan masih kukuh, malah dua hospital baharu sudah mencapai tahap positif, dengan margin dijangka meningkat kepada 27% bagi tahun kewangan 2026.
AmInvest turut menekankan pertumbuhan pesakit asing jauh lebih pantas iaitu 47% YoY, berbanding pesakit tempatan hanya 21% YoY, sekali gus menyumbang 15% daripada keseluruhan hasil kumpulan.
Sunway Healthcare jelasnya, semakin mendapat perhatian pesakit dari Indonesia, China dan Kemboja, dibantu kos rawatan Malaysia yang masih lebih kompetitif berbanding Singapura dan Thailand.
"Kami turut menyifatkan premium penilaian saham syarikat ini sebagai wajar berdasarkan profil pertumbuhan hasil tiga tahun yang diunjurkan berkembang 24% setahun," katanya. - DagangNews.com








