KUALA LUMPUR 29 Sept – CGS International (CGSI) menaikkan unjuran keuntungan teras pada tahun kewangan berakhir Januari 2026 (FY26F) bagi Yinson Holdings Berhad didorong oleh pelbagai faktor.
Firma penyelidikan itu berkata, antaranya disokong prestasi kukuh segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) serta permulaan awal kontrak sewaan kapal Agogo.
Tambahnya, keuntungan teras bersih kumpulan itu bagi separuh pertama FY26 mencecah RM157 juta, mewakili 56% daripada unjuran penuh, sekali gus mengatasi jangkaan awal firma tersebut sendiri.
"Walaupun angka itu hanya 25% daripada konsensus, lonjakan hasil EPCIC dan perkembangan positif projek kapal menjadi pemacu utama kepada semakan semula unjuran," kata CGSI dalam satu notanya.
Ia merujuk kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan terapung (FPSO) Agogo dihasilkan Yinson serta akan digunakan secara meluas dalam operasi industri minyak dan gas (O&G) di seluruh dunia.
Kumpulan itu katanya, menerima rangsangan apabila projek itu mencatat kemajuan 96% siap setakat 31 Julai 2025, dan memperoleh Sijil Kesiapsiagaan Operasi Sementara (PORC) empat bulan lebih awal.
Perkembangan ini membolehkan syarikat merekodkan penghantaran awal dan menerima kadar sewaan penuh lebih cepat, sekali gus meningkatkan pendapatan lebih awal daripada dijangkakan oleh pasaran.
"Dalam suku kedua FY26, Yinson mencatatkan untung bersih RM72 juta, susut 15% suku ke suku kerana RM150 juta yuran pelanggaran pelangsaian awal pembiayaan projek FPSO Maria Quiteria," katanya.
Bagaimanapun CGSI berpandangan, pendapatan operasi kasar meningkat 37%, disokong oleh pelarasan daripada inflasi sewaan FPSO Anna Nery dan Maria Quiteria serta keuntungan EPCIC yang lebih kukuh.
Yinson juga kata firma penyelidikan tersebut, melepaskan sebahagian peruntukan kos kontingensi projek dalam tempoh sama, yang membantu syarikat menambah baik prestasi kewangan suku tersebut.
Ia sebelum ini menjangka FPSO Agogo memulakan kontrak sewaan jangka panjang pada 1 November 2025, namun dimaklumkan kapal itu layak menerima kadar sewaan penuh lebih awal lagi sejak 12 Ogos 2025.
"Berikutan itu, kami menaikkan unjuran keuntungan teras FY26 sebanyak 35%**, walaupun menjangkakan sumbangan EPCIC akan berkurangan dalam 2HFY26 memandangkan projek Agogo hampir siap sepenuhnya.
Kata CGSI, Yinson menerbitkan AS$300 juta (RM1.41 bilion) saham keutamaan boleh tukar (RCPS) pada Jun 2025, dan merancang menerbitkan AS$1 bilion (RM4.7 bilion) secara berperingkat sehingga 2026.
Walaupun kos pembiayaan ini tinggi dengan kadar kupon 12.95% setahun, dana ini penting membiayai potensi kontrak FPSO baharu yang dijangka diterima selewat-lewatnya akhir 2025 atau awal 2026.
Justeru, ia mengekalkan pandangan ada kemungkinan usaha pengambilalihan Yinson, susulan laporan Bloomberg pada 6 Jun 2025 menyebut Stonepeak Partners berunding bersama keluarga pengasas Yinson.
"Kami mengulangi saranan 'tambah' ke atas saham kumpulan ini dengan harga sasaran dinaikkan secara sederhana kepada RM3.26 sesaham sejajar dengan peningkatan unjuran pendapatan FY26," kata CGSI.
Firma itu namun memberi amaran risiko utama termasuk kelewatan kontrak baharu sekiranya harga minyak global jatuh kurang AS$60 (RM252) setong dan jika proses pengambilalihan tidak menjadi kenyataan.
Yinson setakat ini menunjukkan prestasi mantap menerusi kecekapan pelaksanaan projek dan strategi kewangan agresif, meletakkan syarikat pada landasan kukuh pertumbuhan berterusan. - DagangNews.com








