KUALA LUMPUR 11 Nov – Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) dikhuatiri mencatat penurunan kecil dalam unjuran keuntungan bagi tahun kewangan 2026 (FY26), berikutan hasil yang lebih sederhana.
Menurut TA Securities, keadaan lemah itu diramal berlaku selepas keputusan FY25 yang stabil dan unjuran pendapatan kumpulan telah disemak turun sebanyak 2.4% hingga 3.9% untuk FY26 hingga FY27.
Firma penyelidikan tersebut menambah, perkembangan berkenaan susulan prestasi yang sederhana di pasaran rantau Indochina dan peralihan sementara dalam struktur operasi kumpulan itu sendiri.
"Bagaimanapun, kami kekal positif terhadap prospek pertumbuhan jangka panjang, dipacu permintaan domestik, inovasi produk baharu, dan kemajuan projek ternakan tenusu bersepadu di Gemas,"katanya.
TA Securities sehubungan itu dalam notanya tersebut masih mengekalkan saranan 'beli', tetapi harga sasaran disemak kepada RM32.97 sesaham, berasaskan kepada penilaian model diskaun dividen (DDM).
F&N mencatat pendapatan stabil RM5.2 bilion bagi FY25, didorong oleh permintaan domestik kukuh, meskipun prestasi di pasaran Indochina agak lembap pada tempoh separuh kedua tahun kewangan.
Pertumbuhan juga disokong pelancaran produk baharu yang menyasarkan pengguna muda, pengembangan minuman kesihatan di bawah jenama Nutriwell, dan peningkatan jualan eksport ke pasaran Afrika.
"Kami menjangka prestasi FY26 kekal berdaya tahan, disokong oleh inovasi berterusan, pemulihan permintaan di Thailand, serta sumbangan yang meningkat daripada operasi tenusu," tambahnya lagi.
Projek F&N di Gemas kini berjalan mengikut jadual dengan kumpulan kedua 2,500 ekor lembu baka dari Chile baru tiba, menjadikan jumlah keseluruhan 4,400 ekor dan dijangka mencecah 6,900 ekor menjelang FY26.
Secara operasi, ia mencatat purata hasil susu harian sebanyak 28 liter seekor, jauh mengatasi purata industri hanya 15 liter, dan juga berupaya menghasilkan kira-kira 25 juta liter susu segar setahun.
Kemudahan pemprosesan baharu di Gemas dijangka mula beroperasi secara komersial pada suku pertama FY26, yang akan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar negara.
"Kami turut menjangkakan kadar cukai berkesan menurun kepada 28.6% pada FY26 selepas naik kepada 29.6% pada FY25 susulan tamat insentif cukai pelaburan operasi di Thailand," kata TA Securities.
Penurunan ini jelas firma penyelidikan tersebut, bakal disokong oleh pelaksanaan insentif cukai baharu di Kemboja serta operasi ladang tenusu integrasi di Gemas apabila berjaya mencapai titik pulang modal.
Selepas menyemak semula angka FY25, ia menurunkan unjuran keuntungan FY26 kira-kira 3.9% dan FY27 pula 2.4%, serta memperkenalkan unjuran keuntungan teras FY28 sebanyak RM603.2 juta iaitu 4.9%.
Harga sasaran disemak daripada RM33.60 berdasarkan DDM 6.2% dan kadar pertumbuhan terminal 3.0%, namun terus menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








