Unjuran hasil Maxis FY25–FY27 naik setelah untung bersih 2QFY25 cecah RM401 juta, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran hasil Maxis FY25–FY27 naik setelah untung bersih 2QFY25 cecah RM401 juta, kata MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Maxis Berhad dijangka mencatat prestasi kukuh bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 (FY25–FY27) selepas unjuran pendapatan bagi tempoh itu disemak naik, kata MBSB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif berkenaan didorong oleh faktor pelaburan secara berterusan dalam segmen perusahaan dan infrastruktur gentian optik oleh kumpulan itu sendiri.


Pihaknya mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Maxis dengan harga sasaran baharu sebanyak RM4.19 sesaham, disemak naik selepas pengumuman keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25).


“Penyemakan semula ini mengambil kira unjuran perbelanjaan modal yang lebih tinggi, terutamanya untuk ia memperkukuhkan segmen perusahaan dan gentian optik," kata MBSB Research dalam nota kajiannya.


Berdasarkan situasi semasa tersebut yang semakin positif tambah firma berkenaan, unjuran pendapatan Maxis bagi FY25 hingga FY27 telah dinaikkan kepada antara sebanyak -1.7% hingga kira-kira 0.4%.


Maxis mencatat keuntungan normalisasi sebanyak RM401 juta pada 2QFY25, meningkat 13% berbanding tempoh sama tahun lalu, disokong oleh inisiatif kecekapan operasi dan pengurusan kos yang berkesan.


Meskipun hasil perkhidmatan sedikit menurun kepada RM2.17 bilion atau -0.5% tahun ke tahun (YoY), margin keuntungan kumpulan itu berjaya dipertingkatkan kepada 16% berbanding 14% pada 2QFY24.


Perbelanjaan modal pada suku kedua meningkat 42.2% kepada RM165 juta, kebanyakannya digunakan bagi pembangunan infrastruktur gentian optik yang menyokong keupayaan rangkaian bersepadu kumpulan.


Bagi 1HFY25 kata MBSB Research, jumlah perbelanjaan tersebut didapati meningkat kepada RM251 juta (+13.1% YoY), dan dijangka terus melonjak pada tempoh separuh kedua sejajar dengan trend bermusim.


“Kami melihat terdapat momentum positif dalam segmen gentian optik, khususnya selepas pengumuman pelaksanaan projek rangkaian gentian utama di Pulau Pinang,” kata firma penyelidikan berkenaan.


Tambahnya lagi, segmen prabayar yang sebelum ini mencatat prestasi kurang memberangsangkan pada tempoh 1QFY25 pula menunjukkan berlaku pemulihan dengan penambahbaikan dalam tawaran produk.


Selain itu kata MBSB Research, kerjasama Maxis bersama-sama syarikat telekomunikasi China Mobile International dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan hasilnya dalam tempoh sederhana.


Secara keseluruhan katanya, keuntungan normalisasi bagi 1HFY25 meningkat kepada RM769 juta (+8% YoY), manakala kos susut nilai dan pelunasan kekal stabil pada RM887 juta, hampir sama seperti sebelumnya.


Meskipun perbelanjaan modal disemak naik, parameter diskaun aliran tunai masih tidak berubah, dan penilaian kini firma tersebut diganjakkan kepada tahun kewangan 2026. - DagangNews.com