TAIPING 29 Mei - Zoo Taiping dan Safari Malam Taiping telah dipilih sebagai lokasi penyelidikan Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Menerusi program UMCares@Taiping ini terdapat dua kajian iaitu penyelidikan ekologi tingkah laku dan penilaian kebajikan haiwan mamalia besar seperti golden cat, leopard cat dan karnivor yang lain.
Turut dilakukan ialah penilaian kualiti air dan rawatan kolam.
Yang Dipertua MPT, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, Taiping dipilih sebagai lokasi penyelidikan kerana nilai sejarahnya yang kaya serta potensinya dalam pembangunan mampan.

Menurut beliau, kerjasama itu dilihat sebagai simbol komitmen bersama dalam pembangunan komuniti dan pemindahan ilmu.
“Program UMCares@Taiping memberi manfaat kepada pihak universiti dalam bidang akademik dan penyelidikan.
“Pada masa sama program ini turut membantu meningkatkan pengurusan dan tambah nilai dalam usaha menarik pelancong ke Zoo Taiping dan Safari Malam,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut telah dimeterai antara Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Osman manakala Khairul Amir mewakili MPT di Pavilion Zoo Taiping di sini.


Hadir sama Penasihat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie.
Menerusi kerjasama ini juga, Bukit Larut dipilih sebagai lokasi projek Program Kampung Angkat Madani.
Projek ini dijangka dapat meningkatkan ekonomi setempat dan sektor pelancongan di bandar Taiping. - DagangNews.com







