Unity Group, Tek Securities lancar Sukuk Iklim pertama dunia bernilai RM117.8 juta dari Labuan IBFC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unity Group, Tek Securities lancar Sukuk Iklim pertama dunia bernilai RM117.8 juta dari Labuan IBFC

PEMETERAIAN dokumen Suku Iklim antara Mansfield Wong (kiri) dan Pengarah Tek Securities Limited, Prof Datuk H'ng Paik San (kanan) dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah LFSA, Affendi Rashdi (tengah) di Labuan hari ini. - Foto ihsan Unity Group
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Unity Group dan Tek Securities Ltd mencipta sejarah menerusi pelancaran awal Sukuk Iklim yang pertama di dunia dengan nilai permulaan RMB200 juta (kira-kira RM117.76 juta).


Program itu dilancarkan dari Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) dan instrumen inovatif ini menggabungkan struktur patuh Syariah dengan projek kredit karbon diperakui.


Ini menjadikannya yang pertama seumpamanya dalam landskap kewangan Islam global dengan sukuk itu disokong 'The Green Initiative Program' di bawah inisiatif bersama Unity dan Kerajaan Selangor.


"Usaha ini bagi mempercepatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta mencapai sasaran Malaysia bagi meraih Sifar Karbon menjelang 2050," kata Unity dalam satu kenyataan hari ini.


Projek sulung kumpulan itu menjana dua aliran pendapatan utama iaitu penjimatan tenaga sehingga 75% melalui penggunaan lampu ESG ultra kecekapan tinggi dan kredit standard karbon diperakui (VCS).


Katanya, lampu ESG direka Unity dengan jangka hayat 180,000 jam dan kadar kerosakan serendah 0.01%, layak untuk tiga pusingan tuntutan karbon, sekali gus meningkatkan pulangan mampan kepada pelabur.


Sukuk baharu ini tambah kumpulan disenaraikan di Bursa Hong Kong itu, membuka jalan bagi pembiayaan projek ESG berskala besar secara cekap dan patuh Syariah dengan bermula dilaksanakan di Selangor.


"Ia turut menjadikan Unity sebagai peneraju global dalam pelaburan berorientasikan matlamat untuk kelas aset baharu," katanya yang berpengalaman lebih 17 tahun memacu inisiatif kecekapan tenaga.


Sementara itu, menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Unity Group, Mansfield Wong, pelancaran ini adalah pelan tindakan konkrit mempercepat penyahkarbonan secara lebih praktikal.


Mereka memilih Labuan IBFC untuk pelancaran itu kerana rangka kerja Syariah yang kukuh diiktiraf global, pemantauan cekap oleh pihak kawal selia dan pematuhan kepada tahap piawaian antarabangsa.


Pulau bebas cukai berkenaan juga tambah beliau, memiliki persekitaran mesra instrumen inovatif seperti Sukuk Iklim dan mempunyai akses secara strategik ke pasaran rantau Asia Pasifik sendiri.


“Kami membuktikan bahawa pelaburan ESG bukan hanya beretika, tetapi mampu menjana sebanyak dua aliran pendapatan dan memberikan impak nyata kepada alam sekitar yang lestari,” kata Mansfield.


Dengan potensi pengurangan 42,400 pelepasan karbon dioksida setahun dan anggaran nilai kredit karbon mencecah RM6.3 juta setahun, sukuk ini diyakini bakal menarik minat pelabur institusi.


Kelompok berkenaan tambah beliau, diyakini kerana dianggap lebih serius terhadap pelaburan hijau dengan standard patuh Syariah yang tinggi. - DagangNews.com