Unitrade biayai pengambilalihan Kien San Metal bernilai RM42 juta melalui gabungan dana dalaman dan suntikan modal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unitrade biayai pengambilalihan Kien San Metal bernilai RM42 juta melalui gabungan dana dalaman dan suntikan modal

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 Jan - Pengambilalihan 51% milikan dalam Intergreen Metal Sdn Bhd untuk menguasai syarikat pakar kitar semula logam, Kien San Metal Sdn Bhd (KMSB) yang bernilai RM42 juta akan dibiayai melalui gabungan suntikan modal oleh pemegang saham Intergreen dan dana dalaman Unitrade Industries Bhd sendiri.

 

Unitrade berkata, kumpulan merancang untuk menyuntik RM9.18 juta ke dalam Intergreen, mencerminkan pegangan 51% dalam syarikat itu, manakala pemegang saham minoriti Intergreen akan menyumbang RM8.82 juta. 

 

Ini akan meningkatkan modal berbayar Intergreen sebanyak RM18 juta, dari RM2 juta kepada RM20 juta.

 

"Baki RM24 juta yang diperlukan untuk pengambilalihan akan diperoleh daripada dana dalaman Unitrade," jelas kumpulan berkenaan dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia.

 

Pengumuman tersebut dibuat berikutan pertanyaan daripada Bursa Malaysia, yang meminta penjelasan mengenai bagaimana Intergreen akan membiayai pengambilalihan yang diumumkan minggu lalu, termasuk pengagihan pertimbangan pembelian antara dana dalaman dan sumbangan modal daripada pemegang saham Intergreen.

 

Minggu lalu, Intergreen menandatangani perjanjian jual beli saham dengan pemegang saham tunggal KMSB, Hong Ching Chung, untuk mengambil alih 51% dalam KMSB. 

 

Perjanjian itu dijangka selesai pada suku kedua tahun ini, yang akan memberi Unitrade pegangan berkesan sebanyak 26.01% dalam KMSB.

 

Pengambilalihan berkenaan disertakan dengan jaminan keuntungan, di mana KMSB dijangka mencatatkan jumlah keuntungan selepas cukai sebanyak RM30 juta sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, 2027 dan 2028. - DagangNews.com