KUALA LUMPUR 27 Mac - United Malacca Berhad diramalkan masih lagi dipengaruhi prospek harga minyak sawit mentah (CPO) yang tidak menentu meskipun mencatatkan kenaikan keuntungan pada 3QFY25, menurut TA Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan tersebut dipengaruhi oleh eksport dan permintaan yang lebih lemah daripada negara pengimport utama, serta jangkaan peningkatan dalam bekalan minyak sayuran global.
Ia namun menjangkakan pengeluaran buah tandan segar (BTS) meningkat sebahagian besar disebabkan oleh aktiviti penuaian lebih stabil, berikutan penyelesaian isu kekurangan buruh dan keadaan cuaca bertambah baik.
"Melangkah ke hadapan tahun asas penilaian, harga sasaran (TP) United Malacca diselaraskan lebih rendah kepada RM5.95 sesaham berbanding RM6.04 selepas pelarasan pendapatan," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun firma itu terus mengekalkan saranan "beli" ke atas saham syarikat perladangan itu susulan pengumuman keuntungan bersih bagi tiga bulan berakhir 31 Januari 2025 (3QFY2025) yang lebih positiif.
Terdahulu United Malacca merekodkan RM29 juta keuntungan bersih berbanding RM18.97 juta setahun sebelumnya dan perolehan sesaham kepada 13.82 sen daripada 9.04 sen.
Hasil bagi suku itu meningkat 26.23 peratus kepada RM181.38 juta berbanding RM143.69 juta pada 3QFY2024, dan mengimbangi pengeluaran FFB lebih rendah di Malaysia disebabkan oleh faktor hasil yang kurang.
Mengulas lanjut, TA Research berkata, ia telah menyemak semula unjuran pendapatan syarikat berkenaan dari FY25 hingga FY27 yang masing-masing sebanyak 4.2 peritus sehingga 19.4 peratus.
"Ramalan ini disesuaikan selepas mengambil kira keputusan 3QFY25 yang lebih baik daripada jangkaan awal, pertumbuhan pengeluaran FFB semakin kukuh dan margin bertambah stabil," kata firma tersebut.
Tambahan pula, United Malacca tidak mengisytiharkan sebarang dividen untuk suku semasa dan berkata prestasi itu membantu mengimbangi kerugian pertukaran asing RM6.27 juta daripada rupiah yang lebih lemah. - DagangNews.com








