United Malacca berpotensi nikmati harga minyak sawit mentah stabil disokong isu cuaca - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

United Malacca berpotensi nikmati harga minyak sawit mentah stabil disokong isu cuaca - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Dis — Risiko cuaca terhadap bekalan minyak sawit mentah (MSM) global dinilai antara pemangkin utama yang berpotensi menyokong harga komoditi itu stabil, kata TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut berkata situasi berkenaan, sekali gus dapat membantu dalam mengimbangi tekanan daripada faktor perdagangan antarabangsa dan perubahan dasar global tidak menentu.


Dalam konteks ini, ia menilai United Malacca Berhad berada pada kedudukan yang amat baik untuk memanfaatkan persekitaran pasaran tersebut apabila menikmati harga MSM secara lebih positif.


"Kami menaik taraf penarafan syarikat ini kepada 'beli' daripada 'pegang', dengan meningkatkan harga sasaran (TP) kepada RM6.72 sesaham berbanding RM6.29 sebelum ini," kata TA Securities lagi.


Perkembangan tersebut jelas firma berkenaan, susulan prestasi kewangan kumpulan perladangan itu yang didapati melebihi jangkaan serta unjuran pendapatan dalam jangka sederhana disemak naik.


Tambahnya, prestasi United Malacca sepanjang 2QFY26 adalah lebih kukuh daripada unjuran, didorong faktor pengembangan margin keuntungan dan pengurangan kos kewangan yang dilaksanakan syarikat.


Keuntungan bersih teras kumpulan tersebut jelas TA Securities, turut melonjak 93.8% tahun ke tahun (YoY) kepada kira-kira RM53.8 juta, sejajar dengan peningkatan pendapatannya sebanyak 31.1% YoY.


"Bagi tempoh 1HFY26, keuntungan teras kumulatif pula naik 88.4% YoY kepada RM89.0 juta, merangkumi 73% dan 83% daripada unjuran penuh tahun kami dan konsensus pasaran," kata firma berkenaan lagi.


Prestasi positif United Malacca pada tempoh enam bulan tersebut tambahnya, disokong oleh faktor peningkatan keuntungan yang melibatkan pelbagai operasi syarikat di Malaysia dan Indonesia.


Pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan meningkat 17.1% YoY kepada 276,700 tan dalam 1HFY26, dengan sumbangan daripada Malaysia sebanyak 14.9%, manakala Indonesia pula kira-kira 25.9%.


Dari segi harga kata TA Securities, purata MSM di Malaysia naik 3.2% YoY kepada RM4,180 satu tan, sementara harga isirung sawit (PK) didapati melonjak 33.0% YoY kepada RM3,375 bagi setiap tan.


"Di Indonesia, penurunan kecil harga MSM sebanyak 1.1% YoY kepada RM3,614 satu tan namun telah berjaya diimbangi oleh kenaikan harga PK sebanyak 36.7% YoY," jelas firma penyelidikan berkenaan.


Seiring prestasi yang menggalakkan itu katanya, United Malacca mengumumkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 7 sen sesaham, dan dibayar kepada pemegang saham pada 30 Januari 2026.


TA Securities turut menyemak naik anggaran pendapatan FY26 hingga FY28 antara 4.0% hingga 12.6%, mencerminkan margin yang lebih baik serta kos pembiayaan semakin rendah kepada kumpulan itu.


Pengurusan mengekalkan sasaran pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak 3% hingga 5% bagi FY26, disokong oleh profil usia pokok sawit yang optimum dan kecekapan operasi terus meningkat bauk.


"Kami namun kekal berhati-hati terhadap harga MSM pada 2026 berikutan bekalan kacang soya Amerika Selatan yang mencukupi dan potensi peningkatan aliran minyak soya," kata TA Securities lagi.


Ia susulan pemulihan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta permintaan biodiesel dijangka menjadi faktor sokongan utama kepada harga MSM. - DagangNews.com