KUALA LUMPUR 8 Sept – Unique Fire Holdings Berhad menjalin perjanjian usaha sama dan pemegang saham (JVSHA) bersama Z10 Pte Ltd dari Singapura dan firma tempatan, E&E Electrical Solutions Sdn Bhd.
Menerusi pemeteraian itu, mereka membentuk Unique Electronics Sdn Bhd, sebagai syarikat usaha sama (JV) yang memfokuskan penjualan dan pengedaran lampu kecemasan serta papan tanda keluar.
Perjanjian yang ditandatangani pada 8 September 2025, menandakan langkah strategik Unique Fire meluaskan portfolio rumusan keselamatan selari piawaian pematuhan keselamatan kebakaran Malaysia.
"Struktur pegangan saham Unique Electronics ialah Z10 memegang 51%, manakala E&E Electrical Solutions pula 29% dan Unique Fire Holdings sebanyak 20%," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Unique Electronics katanya, akan menjalankan perniagaan penjualan dan pengedaran berstatus piawaian antarabangsa, hasil kilang pengeluar dari China, Ginkgo Electric (Zhejiang) Co Ltd.
Tambah Unique Fire, Z10 akan bertanggungjawab dalam menguruskan hubungan dengan pihak pengeluar berkenaan serta memastikan standard kualiti produk dapat dipenuhi Gingko secara konsisten.
Sementara E&E pula katanya, akan berperanan menyelia operasi harian, pengurusan pentadbiran dan pemasaran serta memastikan semua lesen dan kelulusan pihak berkuasa dapat lengkap diperoleh.
"Menerusi JVSHA ini, Unique Fire akan berpeluang memanfaatkan kepakaran pasaran sedia ada untuk meneroka peluang perniagaan baharu," tambah kumpulan penyedia peralatan keselamatan berkenaan.
Dalam pada itu, JV berkenaan menyaksikan komposisi Lembaga Pengarah Unique Electronics terdiri daripada empat ahli iaitu dua wakil Z10, manakala seorang masing-masing dari E&E dan Unique Fire.
Keperluan modal syarikat itu akan melalui pembiayaan luar seperti pinjaman dan kemudahan kredit tetapi jika perlu, dana tambahan disumbang oleh pemegang saham mengikut nisbah masing-masing.
Menurut Unique Fire, JV ini sejajar dengan pelan pengembangan strategik syarikat membina ekosistem keselamatan kebakaran menyeluruh, serta menjana aliran pendapatan baharu. - DagangNews.com








