UMW Aerospace cipta sejarah serah ‘rear fan case’ pertama buatan tempatan untuk Rolls-Royce | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW Aerospace cipta sejarah serah ‘rear fan case’ pertama buatan tempatan untuk Rolls-Royce

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat pada majlis penyerahan rear fan case pertama dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan kepada Rolls-Royce plc di Serendah, pada Khamis 23 April 2026. - Gambar/Selangor Royal Office
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 April -  UMW Aerospace mencipta satu lagi pencapaian penting dalam industri aeroangkasa negara apabila berjaya menghantar komponen bahagian belakang selongsong kipas atau rear fan case pertama yang dihasilkan sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan kepada Rolls-Royce plc.

 

Unit aeroangkasa Sime UMW Bhd itu dalam kenyataan berkata, kejayaan itu diraikan dalam satu majlis di Serendah yang dihadiri Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shari, wakil Rolls-Royce dan pemain industri.

 

Program pembinaan bahagian belakang selongsong kipas yang merupakan antara komponen penting enjin diperoleh pada 2022 menandakan langkah strategik syarikat dalam memperkukuh keupayaan pembuatan berteknologi tinggi di Malaysia.

 

Menurut kenyataan itu program berkenaan bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor aeroangkasa, malah memperluaskan peranan UMW Aerospace dalam pengeluaran komponen enjin kritikal yang sebelum ini dihasilkan di Amerika Syarikat.

 

Pengarah Urusan UMW Aerospace, Fariz Hashim berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap keupayaan teknikal dan keyakinan pelanggan global terhadap standard operasi syarikat.

 

“Komponen rear fan case ini melambangkan keupayaan mendalam yang telah kami bangunkan serta kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk memenuhi piawaian industri tertinggi,” katanya.

 

Program tersebut melibatkan keseluruhan rantaian pengeluaran termasuk pembangunan proses pembuatan, penggunaan peralatan khusus serta proses pemeriksaan sebelum mendapat kelulusan untuk pengeluaran bersiri.

 

UMW Aerospace turut melabur dalam teknologi chemical milling termaju yang dibangunkan secara dalaman, sekali gus menjadikannya satu-satunya syarikat di Malaysia yang memiliki keupayaan tersebut.

 

Sementara itu, Naib Presiden Pengurusan Pembekal Rolls-Royce, Simon Royle berkata, pencapaian itu membuktikan kematangan UMW Aerospace sebagai rakan strategik jangka panjang.

 

“Ini memberi keyakinan kepada kami terhadap keupayaan mereka menyokong program enjin Rolls-Royce pada masa hadapan,” katanya.

 

Program rear fan case merupakan kontrak kedua Sime UMW bersama Rolls-Royce selepas pembekalan komponen front fan case sebelum ini.

 

Dengan perkembangan terbaharu ini, kedua-dua komponen utama iaitu front dan rear fan case kini dihasilkan sepenuhnya di Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa global. - DagangNews.com