KUALA LUMPUR 9 Sept – UMediC Group Berhad bersedia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya apabila pelan lonjakan kapasiti berjalan lancar, dengan tumpuan strategik kepada kecekapan pengeluaran.
Phillip Capital berkata, kumpulan tersebut juga berhasrat menambah baik usaha perluasan pasaran eksport, terutamanya ke India dan China yang dikenal pasti menerima permintaan tinggi pengguna.
Berdasarkan perkembangan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran tidak berubah kepada 45 sen sesaham, berdasarkan 18 kali unjuran hasil sesaham pada FY26.
"Kami menyifatkan penilaian semasa UMediC sebagai tidak menuntut, memandangkan ia diniagakan paras kurang dua kali ganda sisihan piawai di bawah purata tiga tahun," kata firma itu dalam notanya.
Kumpuan itu tambahnya, kini berada di landasan tepat meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 12 juta unit setahun menjelang suku pertama 2026, berbanding hanya 5 juta unit pada pertengahan 2024.
Peningkatan ini disokong pembesaran kilang baharu seluas 1,858 meter persegi serta pemasangan mesin Blow-Fill-Seal (BFS) lengkap teknologi Clean-in-Place (CIP) dan Sterilize-in-Place (SIP).
Keadaan tersebut kata Phillip Capital, bakal meningkatkan lagi kadar automasi, selain diyakini mampu mengurangkan risiko kepada pencemaran dan mempercepatkan proses pembersihan kawasan.
“Langkah automasi terkini itu dijangka menambah baik kecekapan pengeluaran serta menyediakan asas kukuh kepada pertumbuhan pendapatan sederhana hingga jangka panjang,” jelas firma berkenaan lagi.
Bagaimanapun ia menjangkakan pengembangan margin mungkin terhad dalam masa terdekat disebabkan perbelanjaan pemasaran (3% hingga 5%) dan kos pentadbiran (20% hingga 25%) yang masih tinggi.
Dalam pada itu, segmen agihan kekal sebagai pemacu utama pendapatan, menyumbang 66% kepada hasil FY24 melalui rangkaian kukuh dengan prinsipal antarabangsa seperti GE, Philips dan Merit.
UMediC kata Phillip Capital, turut memperluas penawaran kepada monitor pesakit berteknologi tinggi dan rumusan hospital pintar, sejajar peningkatan peruntukan kerajaan untuk pendigitalan kesihatan.
"Anak syarikatnya seperti Arteria Medika dan Patho Solutions pula membolehkan UMediC menembusi segmen bernilai tinggi dalam bidang kardiologi intervensi dan diagnostik makmal," katanya.
Keadaan berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, sekali gus memperkukuh potensi margin serta aliran pendapatan secara berulang kepada kumpulan itu melalui keperluan bahan guna semula.
UMediC kini meraih 70% hasil daripada pasaran Malaysia, namun strategi jangka panjang tertumpu pengembangan eksport, antaranya India kerana kemasukan hospital tahunan mencecah lebih 54 juta.
Jualannya di negara itu masih kecil dan membuka ruang pertumbuhan besar, manakala di China pula, peralihan pasca-Covid-19 ke arah produk guna tunggal berkualiti tinggi memberi peluang berpotensi.
"Justeru, UMediC sedang menilai semula rangkaian pengedar di rantau Asia sebelum mengorak langkah ke pasaran lain secara lebih agresif terutama penggantian produk generik sedia ada," katanya.
Phillip Capital menjangkakan keuntungan bersih teras bagi 4QFY25 meningkat sedikit kepada RM2.3 juta, berbanding RM2.0 juta pada suku sebelumnya, disokong kadar penggunaan kapasiti sekitar 80%.
Keuntungan diramal melonjak lebih ketara kepada 19% bermula FY26 apabila pengeluaran memanfaatkan sepenuhnya kilang baharu, meskipun pendapatan dijangka merosot 11% tahun ke tahun (YoY) pada FY25.
Secara keseluruhan, firma itu kekal positif terhadap prospek jangka sederhana UMediC, dengan pertumbuhan organik kukuh daripada penggandaan kapasiti dan peluasan pasaran luar negara.
"Penilaian saham yang rendah berbanding purata sejarah dan prospek pendapatan yang jelas terus menyokong saranan 'beli' terhadap saham kumpulan ini," kata Phillip Capital. - DagangNews.com








