UMediC bida kontrak 925 ambulans bernilai RM444 juta, kata Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMediC bida kontrak 925 ambulans bernilai RM444 juta, kata Phillip Capital

Foto ihsan daripada Facebook rasmi Rescue Medic Sdn Bhd
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 SeptUMediC Group Berhad menyasarkan potensi lonjakan pendapatan menerusi bidaan tender kerajaan bagi 925 buah ambulans bernilai RM444 juta, menurut Phillip Capital.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kontrak itu merangkumi enam zon utama seluruh negara dan akan dibida oleh unit baharunya, Rescue Medic Sdn Bhd, yang ditubuhkan pada Ogos 2025.


Langkah itu tambahnya, sebagai sebahagian daripada pengukuhan segmen perkhidmatan perubatan kumpulan, dan kontrak tersebut akan diberikan kepada satu pemenang sahaja bagi setiap zon.


"Ia menjangka margin kasar antara 15% hingga 20% jika berjaya meraih kontrak dan penyertaan ini menunjukkan langkah strategik mempelbagaikan aliran pendapatan," kata Phillip Capital.


Dalam notanya, ia berkata, perkhidmatan ambulans UMediC mampu menyumbang kepada pertumbuhan teguh jangka panjang kumpulan berkenaan di samping potensi besar menerusi segmen pembuatan.


Ketika ini ia menyumbang melalui dua produk utama iaitu Hydrox dan Airdrox, yang mencatat margin 25%, namun dijangka meningkat ke paras 30% apabila penggunaan kapasiti meningkat.


Syarikat tersebut kata Phillip Capital, turut dalam fasa akhir pelaksanaan sistem 'water-for-injection' (WFI) yang dijangka siap menjelang November 2025, sekali gus mengurangkan kos pensterilan.


"Sistem ini turut meningkatkan kemampuan penghasilan produk perubatan berdasarkan piawaian ketat ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS)," tambah firma berkenaan.


Kapasiti pengeluaran pula dijangka berganda kepada 12 juta unit setahun menjelang suku pertama 2026, seiring dengan permintaan global dan rancangan penembusan pasaran Australia.


Unit pengedaran UMediC, khususnya Patho Solutions yang menyumbang hampir 30% daripada hasil, dijangka mencatat pertumbuhan dua angka daripada permintaan rumusan berasaskan makmal.


Seksyen itu kata Phillip Capital, berpeluang menjadi pengedar eksklusif produk baharu, selain perniagaan ejen perubatan yang dijangka terus memberikan pendapatan secara berulang. 


"Keadaan ini memandangkan hospital secara kelazimannya akan terus membeli bahan habis pakai selepas pemasangan sistem dan situasi tersebut menjana banyak hasil kepada UMediC," katanya.


Berdasarkan perkembangan positif itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' terhadap UMediC dengan harga sasaran 45 sen, berdasarkan unjuran 18 kali perolehan sesaham pada FY26.


Phillip Capital juga optimis terhadap prospek syarikat itu yang didorong oleh potensi besar daripada tender ambulans kerajaan dan pengembangan kapasiti pembuatan dan margin produk.


Bagaimanapun ia memberi amaran risiko termasuk kelembapan dalam permintaan peralatan perubatan, ketidaktentuan kelulusan tender, dan gangguan operasi. - DagangNews.com