KUALA LUMPUR 21 April - Tanco Holdings Bhd menafikan wujud sebarang perkembangan korporat baharu yang belum didedahkan susulan lonjakan ketara harga sahamnya, sebaliknya mengaitkan pergerakan tersebut dengan laporan media serta ulasan pasaran mengenai syarikat itu dan cadangan projek pelabuhan pintar Midport di Port Dickson.
Dalam maklum balas kepada pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) oleh Bursa Malaysia, syarikat pemaju hartanah itu berkata ia telah membuat pertanyaan sewajarnya dengan lembaga pengarah, pemegang saham utama serta pihak berkaitan dan mendapati tiada perkembangan material yang belum diumumkan.
“Lembaga tidak mengetahui sebarang perkembangan korporat baharu atau material berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat serta anak-anak syarikatnya yang belum diumumkan sebelum ini yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Tanco memaklumkan terdapat usaha yang masih di peringkat perbincangan atau rundingan, dan sebarang pengumuman akan dibuat apabila perkara tersebut dimuktamadkan.
Artikel Berkaitan: Bursa Malaysia minta penjelasan Tanco susulan kenaikan harga saham luar biasa
Menurutnya, faktor lain yang mungkin menyumbang kepada lonjakan harga saham ialah artikel dan analisis oleh portal berita luar yang menyentuh mengenai permodalan pasaran syarikat serta potensi projek Midport, iaitu cadangan pembangunan pelabuhan kontena berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Ini mungkin menjadi faktor dan penjelasan yang berkemungkinan bagi aktiviti dagangan tersebut,” tambahnya.
Dalam pada itu, Tanco menegaskan komitmennya untuk mematuhi Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia, khususnya dari segi kewajipan pendedahan segera.
Terdahulu, Bursa Malaysia mengeluarkan pertanyaan UMA selepas saham Tanco mencatat kenaikan berterusan sejak awal 2025 dan mencecah paras tertinggi baharu pada Isnin.
Pada sesi dagangan tengah hari, saham syarikat itu diniagakan pada RM1.71, memberikan penilaian pasaran sekitar RM10.5 bilion.
Bagaimanapun, selepas pengumuman tersebut, saham Tanco susut sembilan sen atau 5.33% untuk ditutup pada RM1.60, sekali gus meletakkan permodalan pasarannya pada RM9.81 bilion. - DagangNews.com








