KUALA LUMPUR 25 Jun — UEM Sunrise Berhad menjangkakan sedikit impak daripada perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana kebanyakan projeknya dikecualikan daripada cukai tersebut.
Ketua Pegawai Kewangannya, Hafizuddin Sulaiman berkata, sebahagian besarnya merupakan kediaman baharu yang memang tidak tertakluk kepada cukai enam peratus ke atas perkhidmatan pembinaan.
Kumpulan tersebut kata beliau, telah menjangkakan pelbagai potensi kesan dan mengambil kira segala implikasi daripada pelaksanaan SST itu dalam kontrak pembinaan yang sedang berjalan.
"Kira-kira 90 peratus daripada pelancaran projek hartanah semasa kami adalah bersifat kediaman dan tidak akan menarik untuk dikenakan cukai perkhidmatan yang diperluaskan," kata Hafizuddin.
Bagaimanapun menyentuh isu penurunan permintaan pembeli, UEM Sunrise terus memantau perkembangan kawal selia dan akan melaraskan strategi dengan sewajarnya untuk kekal berdaya saing dan patuh
Mulai 1 Julai 2025, kerajaan memperluaskan SST dengan memasukkan cukai 6% ke atas perkhidmatan pembinaan projek infrastruktur, komersial dan perindustrian bernilai lebih RM1.5 juta setahun.
Pengecualian cukai berkenaan namun tetap diberikan kepada projek bangunan kediaman, utiliti berkaitan perumahan dan kontrak harga tetap dengan tempoh penangguhan diberikan selama 12 bulan.
Hafizuddin dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab kumpulan UEM Sunrise pada Februari 2025 berikutan peletakan jawatan oleh penyandang sebelumnya, Ketua Pegawai Eksekutif, Sufian Abdullah.
Beliau turut bertanggungjawab untuk menyelia pelbagai operasi syarikat berkenaan dan memastikan segala kesinambungan perniagaan kumpulan tersebut sehingga CEO baharu dilantik kemudian.
Menurut laporan tahunan UEM Sunrise, portfolio pembangunan hartanahnya meliputi segmen kediaman, runcit, komersial dan perindustrian yang terletak terutamanya di wilayah Tengah dan selatan.
Mengulas lanjut Hafizuddin berkata, UEM Sunrise mengekalkan sasaran jualannya sebanyak RM1.05 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 yang disokong oleh pelbagai faktor.
Ini termasuk permintaan kukuh daripada projek The MINH dan The Connaught One serta menambah baik kadar pengambilan di Iskandar Puteri, Johor, dipacu oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Kami merancang untuk melancarkan projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.0 bilion, memfokuskan pada rumah tanah pasaran pertengahan dan pembangunan di Australia,” katanya.
Strategi UEM Sunrise tambahnya, kekal mengoptimumkan bank tanah, mempercepatkan pelancaran sejajar permintaan sertapenetapan harga dan disiplin produk sambil kekal responsif. - DagangNews.com








