KUALA LUMPUR 7 Mei - UEM Sunrise Berhad melantik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pembangunan Hartanah Matrix Concepts Holdings Bhd, Leong Jee Van sebagai Ketua Pegawai Pembangunan Hartanah.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, pelantikan berkuat kuasa 18 Mei 2026, dalam usaha memperkukuh keupayaan pembangunan hartanah dan mempercepatkan pelaksanaan strategi pertumbuhan syarikat itu.
Selain itu, pelantikan berkenaan mencerminkan komitmen kumpulan bagi memperkukuh teras pembangunan hartanah dengan mewujudkan nilai mampan secara jangka panjang sebagai antara pemaju utama negara.
Ujar UEM Sunrise, Jee Van berpengalaman lebih tiga dekad dalam sektor hartanah dan kejuruteraan termasuk pembangunan projek berskala besar daripada peringkat perancangan sehingga penyerahan.
“Ini merangkumi pemerolehan tanah, dan pengurusan hartanah yang menyokong pendekatan pembangunan bersepadu selaras dengan fokus syarikat terhadap kualiti, serta berorientasikan pelanggan,” katanya.
Dalam peranan baharu itu, beliau mengetuai fungsi pembangunan hartanah secara menyeluruh termasuk penambahbaikan kualiti produk, disiplin kos serta memastikan penyerahan projek tepat pada masanya.
Beliau tambah UEM Sunrise, dijangka memainkan peranan penting dalam projek koridor pertumbuhan strategik syarikat termasuk peluang terbaik daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Sementara itu, Pengarah Urusan dan CEO kumpulan, Shaharul Farez Hassan berkata, pengalaman luas Jee Van dalam rantaian nilai hartanah akan mengukuhkan lagi kepimpinan syarikat pemaju berkenaan.
“Pelantikan beliau akan memperkukuh pelaksanaan di bawah tonggak Pembangunan Hartanah syarikat selain melengkapi strategi lebih luas UEM Sunrise untuk membina portfolio yang seimbang,” katanya.
UEM Sunrise menambah, beliau sebelum ini, berkhidmat di Tribeca Real Estate Management Sdn Bhd dan mengetuai pembangunan Cedar Damansara, projek kediaman berketumpatan rendah di Bukit Damansara.
Jee Van juga katanya, pernah memegang jawatan kanan dalam beberapa syarikat hartanah termasuk Tropicana Corporation Berhad, Naim Holdings Berhad, dan Bandar Raya Developments Berhad.
Dari segi akademik pula, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Monash University di Melbourne, Australia. - DagangNews.com








