UEM Sunrise kekal untung pada 1QFY26 disokong peningkatan 24% hasil segmen pembangunan hartanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise kekal untung pada 1QFY26 disokong peningkatan 24% hasil segmen pembangunan hartanah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Mei - UEM Sunrise Berhad mengekalkan prestasi berdaya tahan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26) apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM22.49 juta dengan hasil berjumlah RM347.71 juta.

 

Prestasi itu disokong peningkatan 24% hasil segmen pembangunan hartanah susulan jualan lebih baik serta kemajuan pembinaan projek utama di wilayah Tengah, khususnya MINH dan Connaught One.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM15.45 juta berbanding RM19.44 juta pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan boleh diagihkan kepada pemilik syarikat induk menurun kepada RM16.20 juta daripada RM20.49 juta sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, hasil bagi tempoh berkenaan merosot 16.7% daripada RM417.63 juta pada 1QFY25 disebabkan jualan tanah yang lebih rendah.

 

Katanya, suku sama tahun lalu menerima sumbangan besar daripada pelupusan tanah bukan strategik di Iskandar Puteri, Johor.

 

“Peningkatan hasil pembangunan hartanah dipacu oleh kemajuan projek MINH dan Connaught One di wilayah Tengah, namun sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih rendah daripada Intrika.

 

“Wilayah Selatan pula mencatat sumbangan lebih tinggi daripada DiReka Square, tetapi diimbangi penurunan sumbangan daripada Senadi Hills,” katanya.

 

Keuntungan Operasi, Kedudukan Kewangan 

Bagi perbandingan suku ke suku, hasil kumpulan menurun 18% daripada RM424.28 juta pada suku keempat FY2025 disebabkan penangguhan beberapa jualan tanah utama sementara menunggu pemenuhan syarat terdahulu.

 

Namun, keuntungan operasi meningkat kepada RM39.69 juta berbanding kerugian operasi RM14.65 juta pada suku sebelumnya hasil penambahbaikan pengurusan kos serta ketiadaan pelarasan bukan operasi dan bukan tunai.

 

Sumbangan daripada usaha sama dan syarikat bersekutu pula berjumlah RM15.72 juta, lebih rendah berbanding RM57.07 juta pada 1QFY25 dan RM51.17 juta pada 4QFY25.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah pinjaman kumpulan setakat 31 Mac 2026 berjumlah RM3.93 bilion, terdiri daripada RM2.92 bilion pinjaman jangka panjang dan RM1.01 bilion pinjaman jangka pendek.

 

Kumpulan itu turut menerbitkan Nota Jangka Sederhana Islamik (IMTN) bernilai RM500 juta bagi tempoh 12 tahun pada kadar 4.10% setahun pada Februari lalu, selain membayar balik RM590 juta IMTN sepanjang suku tersebut.

 

Tunai, baki bank dan deposit pula berjumlah RM955.06 juta.

 

Dividen dan Prospek

Lembaga pengarah turut mengumumkan dividen satu peringkat dikecualikan cukai sebanyak 0.84 sen sesaham serta dividen khas 0.59 sen sesaham bagi FY2025 melibatkan pembayaran kira-kira RM73 juta yang dibuat pada 15 Mei 2026.

 

Mengulas prospek semasa, UEM Sunrise Berhad berkata, kumpulan itu kekal optimis untuk mencapai sasaran jualan RM1.3 bilion dan sasaran pelancaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion bagi FY2026.

 

Menurutnya, pelancaran projek akan tertumpu di Serene Heights dan Mont’Kiara di wilayah Tengah serta Gerbang Nusajaya dan Estuari di wilayah Selatan.

 

“Kumpulan juga akan meneruskan pembangunan One Oval di Perth dan projek bina untuk sewa di Collingwood, Melbourne,” katanya. - DagangNews.com