UEM Sunrise batal bina pusat data, rancang jual tanah di Gerbang Nusajaya seluas 30 hektar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Sunrise batal bina pusat data, rancang jual tanah di Gerbang Nusajaya seluas 30 hektar

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — UEM Sunrise Berhad tidak lagi berhasrat untuk membina pusat data di tapak seluas 30 hektar setelah tidak mencapai perjanjian dengan Logos Infrastructure Holdco Pte Ltd.


Sebaliknya, menurut Ketua Pegawai Kewangannya, Hafizuddin Sulaiman, kumpulan tersebut sedang dalam usaha perbincangan untuk menjual tanah berkenaan yang terletak di Gerbang Nusajaya, Johor.


Tambah beliau, perancangan dengan Logos untuk membangunkan pusat data sehingga 360 megawatt di tapak tersebut gagal kerana perubahan dalam pemilikan dan hala tuju perniagaan Logos sendiri.


Perkembangan tersebut katanya, susulan tindakan ESR Group Ltd, iaitu pemilik majoriti Logos, yang membeli baki sebanyak 13.6 peratus pegangan daripada pengasas syarikat itu pada Julai 2024.


"Perkongsian dengan Logos telah luput berikutan perubahan dalam pemilikannya, yang membawa kepada peralihan dalam keseluruhan fokus perniagaan dan hala tuju strategiknya," jelas Hafizuddin.


Berita mengenai penamatan perjanjian antara UEM Sunrise dan Logos mula tersebar pada Mei 2025 apabila beberapa firma penyelidikan melaporkan bahawa perjanjian tersebut telah dihentikan.


Syarikat berkenaan hanya memberikan alasan persekitaran operasi yang tidak menawarkan keuntungan dan ia mencetuskan spekulasi mengenai projek pembangunan pusat data itu mungkin dibatalkan terus.


Mengulas lanjut, Hafizuddin berkata syarikat tersebut kini sedang mencari untuk menjual tanah berkenaan sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengewangkan aset yang bukan teras.


"Kami telah menerima pernyataan minat awal dan dalam perbincangan awal dengan beberapa pembeli berpotensi. Pada peringkat ini, tiada perjanjian mengikat telah diformalkan," katanya.


Sehubungan itu tambah beliau, sebarang perkembangan semasa yang penting melibatkan isu tanah tersebut akan didedahkan oleh UEM Sunrise kemudian berdasarkan kepada keperluan kawal selia.


Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, kumpulan itu melaksanakan beberapa usaha rasionalisasi portfolio termasuk penjualan baki 40% kepentingannya dalam Aura Muhibah Sdn Bhd.


Ekuiti itu dibeli oleh KLK Land Sdn Bhd pada harga RM386.2 juta, dan ia turut melakukan pelupusan petak tanah di Ledang Timur, Johor pada harga RM144.9 juta kepada pengendali pusat data global.


Sepanjang 2024, menurut laporan tahunan UEM Sunrise telah melancarkan sebanyak enam projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) RM904.3 juta tahun, iaitu melebihi sasaran RM800 juta.


Pada akhir Disember 2024, baki simpanan tanah kumpulan tersebut berjumlah 2,104 hektar dengan membawa kepada anggaran GDV sebanyak RM90.9 bilion. - DagangNews.com