UEM Lestra, ACWA Power dari Arab Saudi teroka kerjasama bina loji jana tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UEM Lestra, ACWA Power dari Arab Saudi teroka kerjasama bina loji jana tenaga

Harman Faiz Habib Muhamad bersama Thomas Brostom pada majlis memeterai perjanjian kerjasama strategik UEM dan ACWA Power di Kuala Lumpur pada 12 Mac 2025.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Mac — UEM Lestra Berhad, memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan ACWA Power dari Arab Saudi untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan bersama-sama membangunkan loji penjanaan tenaga dan air bebas (IWPP) di Malaysia.
 

Di bawah perjanjian tersebut, ACWA Power akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bersama UEM Lestra di samping meneroka peluang pembangunan kemudahan IWPP boleh baharu dengan menggunakan teknologi Osmosis Songsang Air laut (SWRO) dalam negara ini.

 

ACWA ialah syarikat terbesar di dunia dalam penyahgaraman air, peneraju peralihan tenaga dan terawal dalam hidrogren hijau, serta memiliki 101 projek dan aset merentasi 14 negara manakala UEM Lestra ialah subsidiari dan sayap industri hijau UEM Group Berhad.

 


"Kajian kebolehlaksanaan ini dijangka mengambil masa antara enam hingga dua belas bulan dan antara lain merangkumi loji penyahgaraman yang mampu menghasilkan 200,000 ke 400,000 meter kubik air sehari bagi kegunaan industri," katanya dalam satu kenyataan bersama.


Kerjasama itu juga akan menjurus ke arah melengkapi kemudahan IWPP ini dengan sama ada rumusan turbin gas kitaran gabungan, ladang solar berskala besar di atas darat atau terapung dilengkapi dengan sistem penyimpanan tenaga bateri, atau gabungan kedua-duanya.


UEM Lestra diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harman Faiz Habib Muhamad dan Ketua Pegawai Pembangunan, Rashidi Hazrin Harun manakala ACWA Power diwakili Ketua Pegawai Pelaburan dan Pembangunan, Thomas Brostrom Ketua Pegawai Eksekutif di Malaysia, dan Mathew Chandapillai.


Pemeteraian disaksikan Pengerusi UEM Group, oleh Datuk Hisham Hamdan; Pengerusi UEM Lestra, Datuk Amran Hafiz Affifudin dan Naib Presiden Serantau ACWA Power, Salman Baray. Turut hadir ialah Penasihat Kanan kepada Pengerusi ACWA Power bagi Malaysia, Tan Sri Azman Mokhtar.
 

 

UEM
Majlis pemeteraian perjanjian kerjasama strategik Kumpulan UEM dengan ACWA Power di Kuala Lumpur pada 12 Mac 2025.


 

Harman Faiz berkata, kerjasama itu merupakan inisiatif penting ke arah menyediakan bekalan air dan tenaga gred industri yang mampan di Malaysia dan sekiranya dilaksanakan nanti ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan asing terutama dalam sektor pembuatan.


"Selain itu ia mampu meraih pelaburan pusat data ke dalam negara. Kami komited untuk berkerjasama dengan ACWA Power bagi memastikan loji dan kemudahan ini dapat dibangunkan dengan jayanya, yang bukan sahaja akan menangani permintaan sumber air oleh industri yang kian meningkat tetapi juga selari dengan sasaran tenaga boleh baharu Malaysia," katanya. - DagangNews.com