KUALA LUMPUR 28 Ogos – UEM Edgenta Berhad kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM11.2 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25), selepas mengalami kerugian bersih RM17.7 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025.
Syarikat rumusan pengurusan aset dan infrastruktur itu berkata, pemulihan dipacu lonjakan hasil RM730.3 juta, meningkat RM84.2 juta berbanding suku sebelumnya, hasil pelaksanaan kerja-kerja tertunda dan sumbangan kontrak baharu.
Segmen pengurusan aset menyumbang keuntungan bersih RM10.1 juta, meningkat hampir dua kali ganda berbanding RM5.2 juta pada Q1 FY2025, disokong hasil RM485.8 juta yang didorong kontrak sedia ada dan baharu di pasaran domestik serta antarabangsa.
"Segmen rumusan infrastruktur menunjukkan pemulihan ketara, dengan hasil naik kepada RM246.2 juta berbanding RM180.9 juta pada 1QFY25, sekali gus mencatatkan keuntungan bersih RM13.0 juta daripada sebelum itu kerugian bersih RM6.4 juta," katanya.
Tambah UEM Edgenta, bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM1.38 bilion, turun 4.2% tahun ke tahun (YoY) daripada RM1.44 bilion, berikutan kelewatan kerja pada 1QFY25.
Kumpulan berkenaan katanya, turut merekodkan kerugian bersih sebanyak RM6.5 juta pada enam bulan pertama berbanding keuntungan bersih RM23.0 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Walaupun prestasi separuh pertama sedikit perlahan, syarikat kekal optimis terhadap momentum pemulihan dalam separuh kedua FY2025, dengan menumpukan kepada pelaksanaan kontrak strategik, pengoptimuman kos, dan peningkatan kecekapan operasi.
UEM Edgenta tambahnya, terus mengukuhkan portfolio menerusi kejayaan meraih beberapa kontrak utama, termasuk kontrak perkhidmatan sokongan hospital bernilai RM735.2 juta di Singapura serta pembaharuan kontrak utama di Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Begitu juga dalam kontrak pengurusan fasiliti bersepadu (IFM) sektor mineral di Malaysia yang menampilkan keupayaan teknologi serta pelantikan anak syarikat UEM Edgenta, OPUS bagi kerja-kerja bukan turapan merangkumi cerun, jambatan, saliran dan terowong di lebuh raya utama," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Edgenta, Shaiful Subhan berkata, keupayaan kumpulan mengekalkan buku tempahan yang sihat mencerminkan daya tahan model perniagaan UEM Edgenta.
"Kami komited memperkukuh operasi teras dan menyampaikan nilai mampan kepada para pemegang taruh. Dengan pelaksanaan berdisiplin dan keyakinan pelanggan, kami yakin dapat mengharungi baki tahun ini dengan kukuh,” katanya.
UEM Edgenta turut mengumumkan bahawa syarikat telah disenaraikan sebagai konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) pada Jun 2025, satu pengiktirafan terhadap amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh.
Langkah ini kata beliau, menandakan komitmen syarikat terhadap kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat, seiring aspirasi jangka panjang dalam mencipta nilai lestari kepada pemegang saham dan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada agenda pertumbuhan antarabangsa, UEM Edgenta sedang memperkukuh kehadiran di pasaran seperti Singapura, Taiwan, UAE dan Arab Saudi, yang menawarkan potensi pertumbuhan mampan selari dengan keupayaan dan visi jangka panjang syarikat.
Dengan buku tempahan teguh dan pelaksanaan strategi berdisiplin, kumpulan itu katanya, berada pada landasan kukuh untuk terus mengembangkan operasi dan menyampaikan prestasi mampan pada separuh kedua 2025. - DagangNews.com








