KUALA LUMPUR 11 Sept – Penyedia rangkaian mudah alih terkemuka, U Mobile Sdn Bhd mengorak langkah strategik dengan menandatangani perjanjian kerjasama selama 10 tahun bersama Sacofa Sdn Bhd.
Menerusi usaha terbaharu ini, U Mobile bersama penyedia utama infrastruktur telekomunikasi di Sarawak itu dapat mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu di negeri berkenaan.
Sacofa dilantik sebagai rakan strategik gentian 'backhaul' bagi U Mobile, membolehkan sambungan berkapasiti tinggi ke tapak Rangkaian Akses Radio (RAN) menerusi Titik Hubungan Serantau (POI).
Kerjasama antara dua syarikat berkenaan kata mereka dalam kenyataan bersama, sekali gus menyokong pengembangan pengalaman teknologi Ultra 5G kepada pengguna dan perniagaan di seluruh negeri itu.
“Usaha bersama ini turut mencerminkan komitmen secara berterusan U Mobile dalam menyokong agenda transformasi digital di seluruh Sarawak," kata Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck.
Tambah beliau, langkah dilaksanakan mereka itu adalah selari dengan sasaran kerajaan untuk mencapai sebanyak 80% Liputan Kawasan Berpenduduk (CoPA) di Malaysia menjelang tempoh separuh kedua 2026.
Sacofa pula dengan liputan gentian optik merangkumi lebih 11,000 kilometer di Sarawak, berada pada posisi kukuh menyediakan infrastruktur penting menyokong pelaksanaan teknologi 5G komprehensif.
“Kolaborasi ini turut sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 kerajaan Sarawak,” ujar Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi Sacofa, Datuk Seri Julaihi Narawi.
Menerusi pelan berkenaan, kerajaan negeri tersebut kata beliau, berhasrat menjadikan transformasi digital sebagai antara enam pemacu utama kepada pembangunan ekonomi di seluruh Sarawak.
Menurut beliau, kerjasama ini bukan sahaja menyokong pemodenan sektor awam dan swasta, tetapi juga meningkatkan kecekapan serta produktiviti melalui penggunaan teknologi canggih.
Pengarah Urusan Sacofa, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib menyifatkan perjanjian itu sebagai pencapaian penting syarikat memperkasa Sarawak sebagai negeri maju berteraskan teknologi.
“Sacofa kekal komited menyediakan sambungan berkelajuan tinggi dan stabil, sekali gus menyokong Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 melalui perkhidmatan backhaul 5G yang mantap," katanya.
Majlis perjanjian di ibu pejabat korporat SACOFA di Kuching, disaksikan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang, serta Pengarah Sacofa, Datuk Mat Hassan Esa. - DagangNews.com








