U Mobile perlu capai 80% liputan 5G tahun pertama, bina rangkaian di bawah pelaksanaan 5G kedua - Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

U Mobile perlu capai 80% liputan 5G tahun pertama, bina rangkaian di bawah pelaksanaan 5G kedua - Fahmi

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 13 Nov - U Mobile Sdn Bhd perlu mencapai 80% liputan 5G di kawasan berpenduduk dalam tahun pertama operasi dan 95% menjelang tahun ketiga, selaras dengan Pelan Perniagaan Terperinci (DBP) syarikat bagi pelaksanaan rangkaian 5G kedua negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

 

Beliau berkata, DBP itu turut menetapkan bahawa U Mobile akan melaksanakan rangkaian 5G kendiri (standalone) sejak awal, membangunkan penyelesaian dalam bangunan (IBS) dalam tempoh empat tahun bagi memperkukuh liputan dalaman, menyediakan kesalinghubungan gentian optik serta menyokong aplikasi 5G perusahaan (Enterprise 5G) untuk mempercepatkan penerimagunaan digital dalam kalangan perniagaan.

 

Menurut Fahmi, U Mobile merancang untuk menaik taraf 6,515 tapak kepada liputan 5G dalam tahun pertama operasinya yang bermula 14 Julai 2025.

 

Setakat 31 Oktober, sebanyak 2,976 tapak telah dinaik taraf, meliputi 58.2% kawasan berpenduduk, manakala 11 bangunan telah dilengkapi dengan infrastruktur 5G.

 

“Tapak-tapak ini akan mula beroperasi secara berperingkat mengikut jadual pelaksanaan syarikat,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Rabu.

 

Fahmi menjawab pertanyaan Datuk Yusuf Abd Wahab (GPS–Tanjong Manis) mengenai perkembangan terkini pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara selepas pelantikan U Mobile serta status pemegang saham utama syarikat itu.

 

Beliau menjelaskan, pendekatan dua rangkaian 5G dijangka menggalakkan persaingan lebih sihat dalam sektor telekomunikasi, seterusnya merangsang inovasi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan.

 

“Kemasukan rangkaian kedua yang dikendalikan U Mobile membolehkan Malaysia mempelbagaikan pilihan perkhidmatan, memastikan pengguna menikmati harga lebih kompetitif dan liputan lebih baik, khususnya di kawasan luar bandar yang kurang mendapat perkhidmatan,” tambahnya.

 

Fahmi turut menjelaskan, di bawah inisiatif Jendela, kerajaan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau pelaksanaan 5G dengan teliti bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan pematuhan terhadap sasaran nasional.

 

MCMC pada November tahun lalu mengumumkan pelantikan U Mobile sebagai peneraju rangkaian 5G kedua negara. Pengumuman itu mengejutkan ramai pihak memandangkan U Mobile dianggap lebih kecil daripada pesaingnya seperti CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd dari segi jumlah pelanggan dan kekuatan kewangan.

 

ST Telemedia

Kekeliruan meningkat apabila Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd (ST Telemedia) — anak syarikat milik penuh Temasek Holdings Pte Ltd — mengumumkan pada Disember tahun lalu penjualan “pegangan majoriti” dalam U Mobile kepada Mawar Setia Sdn Bhd, syarikat milik Tan Sri Vincent Tan (70%) dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim (30%).

 

Menurut data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat Disember tahun lalu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim merupakan pemegang saham kedua terbesar U Mobile dengan pegangan 22.3%.

 

Pemegang saham lain termasuk Magnum Bhd (7.83%), Singer (Malaysia) Sdn Bhd (6.09%), U Telemedia Sdn Bhd (5.59%) dan Tan Sri Koon Poh Keong (2.35%). Kedua-dua Singer dan U Telemedia merupakan syarikat pelaburan Vincent Tan.

 

Namun, dalam jawapan parlimen tersebut, Fahmi tidak menghuraikan struktur pemegang saham terkini U Mobile- DagangNews.com