KUALA LUMPUR 4 Mei – Kementerian Perladangan dan Komoditi melancarkan Program TVET MyKomoditi 2026 sebagai inisiatif strategik bagi membuka laluan kerjaya profesional kepada belia tempatan dalam sektor agrikomoditi yang kini semakin moden dan berteknologi tinggi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, program berkenaan merupakan usaha kementerian dalam memperkasa pembangunan bakat atau “Bakat Komoditi” selaras dengan keperluan industri masa hadapan.
Menurut beliau, sektor agrikomoditi tidak lagi dilihat sebagai industri tradisional semata-mata, sebaliknya telah melalui transformasi ketara ke arah penggunaan agroteknologi, automasi dan pendigitalan.
“Perubahan tersebut menjadikan sektor itu memerlukan tenaga kerja mahir dan berkemahiran tinggi bagi memastikan daya saing negara terus kekal kukuh di peringkat global.
“Sektor agrikomoditi kekal sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara dengan nilai eksport mencecah RM196.72 bilion pada 2025,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Kuching hari ini.
Dalam pada itu, program TVET MyKomoditi 2026 dilaksanakan melalui kerjasama tiga pihak melibatkan kerajaan, institusi latihan dan pemain industri utama.

Kerajaan diwakili oleh Malaysian Palm Oil Certification Council (IMPAC), manakala institusi TVET termasuk Sarawak Skills, selain penyertaan syarikat utama seperti SD Guthrie, SALCRA, Genting Plantations dan TH Plantations.
Kerjasama ini bertujuan memastikan latihan yang diberikan selari dengan keperluan sebenar industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET.
Melalui pendekatan Train & Place, seramai 300 perantis belia tempatan akan mengikuti latihan secara berstruktur dengan jaminan laluan kerjaya selepas tamat program.
Pendekatan itu dilihat mampu mengurangkan isu ketidakpadanan kemahiran selain memastikan peserta mendapat pengalaman praktikal yang relevan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Dalam masa sama, kerajaan komited menjadikan TVET sebagai laluan kerjaya perdana yang bukan sahaja menawarkan pendapatan kompetitif, malah prospek kerjaya yang mampan kepada generasi muda.
Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan sektor agrikomoditi terus berkembang sebagai industri masa hadapan yang berdaya tahan. - DagangNews.com








