KUALA LUMPUR 29 Ogos – Inari Amertron Berhad menamatkan tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY25) dengan keuntungan bersih RM261.2 juta, susut 15.8% berbanding tahun lalu, menurut penganalisis.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, ia disebabkan oleh kelemahan dalam sumbangan jualan di kesemua segmen utama dengan keuntungan teras dicapai selepas menolak beberapa item luar biasa.
Ini kata firma berkenaan, termasuk kerugian tukaran asing (forex) yang tidak direalisasi (RM35.7 juta), kerugian forex direalisasi (RM6.7 juta) serta kerugian kepentingan minoriti (RM5.6 juta).
"Keputusan kewangan Inari kali ini dilihat sedikit melepasi jangkaan dengan hasil 4QFY25 turun 7.9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM306.7 juta, berbanding sebelum ini RM333.1 juta tahun," katanya.
Tambah PublicInvest, segmen frekuensi radio (RF) kekal penyumbang terbesar (60.6%) dengan jualan RM185.8 juta, namun mencatat penurunan 7.1% YoY, manakala segmen optoelektronik susut 8.8% YoY.
Ia susut kepada RM103.3 juta, dan segmen generik turun 12% kepada RM17.6 juta, namun keuntungan teras pada 4QFY25 meningkat 8.4% YoY kepada RM64.2 juta, disokong peningkatan margin kasar.
Firma itu turut menyifatkan kerugian permulaan sebanyak RM16.1 juta daripada anak syarikat dimiliki 54.5%, Yiwu Semiconductor International Corp (YSIC), memberi kesan kepada prestasi tahunan.
"Bagaimanapun, kami masih mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Inari dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM2.22 sesaham, berasaskan 28 kali unjuran perolehan FY26," kata PublicInvest.
Dividen akhir sebanyak 1.2 sen sesaham yang diisytiharkan Inari untuk suku terakhir tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan dividen FY25 kepada 5.5 sen, rendah berbanding 7.7 sen pada FY24.
Selain itu, ia melihat beberapa pemangkin penilaian semula seperti lonjakan jualan telefon pintar, perkembangan pasaran China dan India, serta pemulihan lebih awal daripada jangkaan oleh YSIC.
Sementara itu, dalam nada hampir sama, MBSB Research turut mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Inari, tetapi dengan TP yang lebih rendah iaitu RM1.98 berbanding RM2.13 sesaham sebelum ini.
"Prestasi FY25 adalah seperti dijangka, dengan penurunan pendapatan dan keuntungan akibat volum pengeluaran lebih rendah serta kos permulaan operasi di China sendiri," katanya dalam nota kajian.
Untuk 4QFY25, keuntungan teras ialah RM64.3 juta, naik 8.0% YoY meskipun hasil RM308.3 juta (-11.3% YoY) dengan margin keuntungan berkembang kepada 21.0%, disokong kredit cukai dan kecekapan operasi.
Secara kumulatif kata MBSB Research, keuntungan normalisasi FY25 susut 13.5% YoY kepada RM261.3 juta, tetapi jika kos permulaan operasi di China dikecualikan, penyusutan hanya sekitar 8.2% YoY.
Firma itu turut mengambil kira tempoh awal bagi beberapa pelaburan strategik, termasuk usaha sama pengambilalihan Lumiled bersama Sanan Optoelectronics dan CFTC yang belum menunjukkan sumbangan.
"Kami menurunkan parameter penilaian perolehan kepada 22.7 kali daripada 27.1 kali, mencerminkan jangkaan sumbangan pendapatan yang lebih perlahan daripada inisiatif pengembangan," katanya lagi.
Secara keseluruhan prestasi Inari pada FY25 Inari masih dalam jangkaan, namun menunjukkan cabaran dalam usaha pengembangan luar negara dan perubahan struktur perniagaan walaupun terdapat potensi.
Kedua-dua firma penyelidikan itu yakin pelancaran produk baru dan diversifikasi pasaran syarikat, serta mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap prospek jangka pendek kumpulan. - DagangNews.com








