Turiya batal cadangan pengambilalihan, langganan saham Turiya Properties bernilai RM100,000 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Turiya batal cadangan pengambilalihan, langganan saham Turiya Properties bernilai RM100,000

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisTuriya Berhad mengesahkan cadangan pengambilalihan dan langganan saham yang diumumkan sebelum ini tidak diteruskan selepas gagal mendapat kelulusan pemegang saham.


Keputusan tersebut susulan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan di M Resort & Hotel Kuala Lumpur semalam yang disahkan oleh pemeriksa bebas dilantik, SKY Corporate Services Sdn Bhd.


Kumpulan itu berkata, kegagalan memperoleh kelulusan tersebut menyebabkan syarat terdahulu bagi Perjanjian Jual Beli Saham (SPA) dan Perjanjian Langganan dianggap sebagai tidak dipenuhi.


"Penolakan 91 pemegang saham mewakili 95.9% atau 20,193,620 saham itu sekali gus membawa kepada dua cadangan dikemukakan itu tidak diterima," kata Turiya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Sehubungan kegagalan resolusi itu, Turiya akan bertindak melupuskan keseluruhan ekuitinya dalam Turiya Properties kepada Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sri Shamir Kumar pada harga tunai RM0.1 juta.


Menurut syarikat berkenaan, langkah pelupusan tersebut akan dilaksanakan selaras dengan mekanisme pemulihan seperti yang sudah diperincikan dalam pekeliling kepada pemegang saham sebelum ini. 


Selepas pelupusan itu berjaya dilengkapkan, Shamir akan meneruskan semula cadangan pengambilalihan secara persendirian tanpa ada langsung sebarang penglibatan lanjut daripada kumpulan Turiya sendiri.


"Nilai pelupusan tersebut bakal ditentukan kemudian berdasarkan kepada nilai aset bersih tidak diaudit Turiya Properties yang berjumlah kira-kira RM0.1 juta setakat pada 30 November 2025," jelasnya lagi.


Pelupusan ini tambahnya, tidak memberi sebarang kesan kewangan material memandangkan Turiya Properties belum memulakan sebarang aktiviti perniagaan dan tidak memiliki aset hartanah material.


Syarikat itu turut memaklumkan bahawa pelupusan berkenaan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham tidak berkepentingan atau mana-mana kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia lain.


Berikutan EGM tersebut, Perjanjian Langganan ditamatkan dan kedua-dua pihak tidak mempunyai sebarang tuntutan antara satu sama lain, sama ada melibatkan kos, ganti rugi atau pampasan. - DagangNews.com