KUALA LUMPUR 27 Okt – Malakoff Corporation Berhad terus memperkukuh kedudukan sebagai peneraju tenaga negara ini dengan memeterai Perjanjian Tempahan bersama Mitsubishi Power Ltd dari Jepun.
Langkah strategik itu melibatkan perolehan dua unit turbin gas teknologi generasi baharu model M701JAC yang bakal memacu keupayaan Malakoff menguasai teknologi penjanaan tenaga berkecekapan tinggi.
Kumpulan tersebut menambah, menerusi perjanjian berkenaan, syarikat itu bakal memiliki turbin termaju yang disifatkan sebagai rendah karbon, sejajar dengan agenda peralihan tenaga Malaysia.
"Turbin M701JAC antara teknologi penjanaan yang tercanggih di dunia, terkenal dengan kecekapan terma tinggi, fleksibiliti bahan api dan pelepasan karbon lebih rendah," kata kenyataan Malakoff.
Majlis pemeteraian diadakan di ibu pejabat kumpulan itu antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin, dan Naib Presiden Eksekutif Mitsubishi Power, Daichi Nakajima.
Ia akan digunakan selepas projek loji janakuasa kitaran gabungan 1,400 MW Malakoff dimuktamadkan, yang dijangka menjadi antara pemacu utama ke arah penjanaan tenaga lebih bersih di Malaysia.
Sementara itu, menurut Syahrunizam, pemeteraian ini ialah langkah penting yang memastikan Malakoff memperoleh akses teknologi tenaga masa depan, sekali gus meningkatkan daya tahan tenaga negara.
“Dengan teknologi turbin M701JAC, kami berupaya memperkukuh komitmen syarikat terhadap inovasi, keselamatan tenaga serta pertumbuhan mampan secara jangka panjang," jelasnya dalam kenyataan itu.
Tempahan awal dua unit turbin ini juga katanya, memastikan kesinambungan rantaian bekalan dan menyokong pembangunan loji kitaran gabungan kumpulan itu di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.
Syahrunizam menambah, perjanjian berkenaan turut memberi ruang bagi tempahan dua lagi turbin tambahan untuk projek loji janakuasa kitaran gabungan kedua berkapasiti 1,400 MW di wilayah utara.
Dalam pada itu, Naib Presiden Eksekutif Mitsubishi Power, Daichi Nakajima berkata, kerjasama ini menandakan langkah penting memperkukuh peralihan Malaysia ke arah agenda penjanaan rendah karbon.
"Malakoff menunjukkan komitmen proaktif ke arah tenaga bersih, dan kami bangga menyokong aspirasi ini melalui teknologi tercanggih kami yang antara paling efisien dan diyakini di dunia,” ujarnya.
Selain itu, kerjasama ini mencerminkan strategi jangka panjang Malakoff membina pakatan teknologi global, yang memastikan syarikat kekal di hadapan dalam rumusan tenaga lebih inovatif dan mampan.
Selepas kejayaan pada Anugerah Tenaga Nasional 2025 dan Anugerah Tenaga ASEAN 2025, langkah diraih syarikat itu sekali lagi menegaskan kepimpinan Malakoff dalam memacu peralihan tenaga negara.
Malakoff sejajar 50 tahun penubuhannya, kekal komited terhadap visi sambil terus menerajui transformasi tenaga Malaysia ke arah masa depan lebih bersih, cekap dan berdaya tahan. - DagangNews.com








