KUALA LUMPUR 23 Feb – Tune Talk kini menjadi operator rangkaian mudah alih pertama di ASEAN yang sepenuhnya berasaskan awan, hasil kerjasama dengan Mavenir, syarikat penyedia perisian rangkaian berteknologi AI.
Dengan menggunakan sistem sokongan operasi (OSS) dan sistem sokongan perniagaan (BSS) berasaskan awan dari Mavenir, Tune Talk kini mampu mengendalikan rangkaian sendiri sepenuhnya tanpa bergantung kepada operator lain.
Sistem ini membolehkan syarikat memantau rangkaian, mempercepatkan pelancaran perkhidmatan, mengurus pelanggan dan bil dengan lebih mudah, serta menawarkan pengalaman yang lebih lancar kepada pengguna.
Antara perkhidmatan digital yang telah diperkenalkan termasuk MyDigital ID, perlindungan Mastercard ID Theft, insurans kemalangan peribadi percuma, faedah foodpanda, serta kandungan hiburan dalam aplikasi seperti drama dan permainan.
Tune Talk juga memperkenalkan proses automatik tanpa sentuhan dan sistem pemulihan sendiri untuk meningkatkan kestabilan rangkaian dan mengurangkan kos operasi.
Dalam fasa kedua, syarikat akan menggunakan lebih banyak teknologi AI untuk meningkatkan prestasi rangkaian, mempercepat penghantaran perkhidmatan dan mencipta peluang pendapatan baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata menjadi operator mudah alih sepenuhnya berasaskan awan adalah satu permulaan baharu untuk Tune Talk dan mengukuhkan cita-cita kami untuk membina rangkaian mudah alih yang lebih pintar untuk Malaysia dan pasaran seterusnya.
“Asas ini membolehkan kami bergerak lebih pantas, menyediakan perkhidmatan mengikut kesesuai pelanggan secara meluas dan membuka nilai baharu melalui inovasi berasaskan AI untuk pelanggan kami yang semakin berkembang,” katanya. - DagangNews.com








