Tune Protect, Ticket2U perkenal Ticket Refund Insurance bagi melindungi pengunjung acara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tune Protect, Ticket2U perkenal Ticket Refund Insurance bagi melindungi pengunjung acara

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 April — Tune Protect Malaysia bekerjasama dengan platform tiket dalam talian, Ticket2U Sdn Bhd, memperkenalkan Ticket Refund Insurance bagi perlindungan pengunjung acara dan mewujudkan standard baharu yang lebih baik untuk pembeli tiket.


Syarikat insurans digital tempatan itu dalam satu kenyataan berkata, pelan menyeluruh tersebut meliputi pembelian tiket untuk pelbagai acara di negara ini, termasuk program persidangan, maraton, larian, konsert, festival dan kejohanan sukan. 


Langkah perlindungan tersebut katanya, akan memastikan pemegang tiket menerima bayaran balik penuh sekiranya keadaan yang tidak dijangka berlaku dan menghalang mereka daripada dapat menghadiri acara berkenaan.


"Inisiatif ini mengukuhkan komitmen Tune Protect untuk menyampaikan rumusan yang lebih mengutamakan pelanggan dan meningkatkan pengalaman acara keseluruhan," kata Tune Protect.


Ticket Refund Insurance melindungi peserta terbabit daripada gangguan seperti kecemasan perubatan, kematian akibat kemalangan, insiden di rumah seperti kebakaran atau kecurian, bencana alam dan pengangguran secara tiba-tiba.


Ia memastikan pembeli tiket tidak terbeban dari segi kewangan dan perlindungan itu juga meliputi kemalangan jalan raya, kerosakan kenderaan semasa perjalanan ke acara tersebut, serta keadaan tidak dijangka yang lain seperti digariskan dalam terma polisi.


Pelancaran Ticket Refund Insurance katanya, merupakan satu transformasi perlindungan inovatif bagi pengunjung acara, memberi mereka keyakinan untuk menempah tiket tanpa rasa takut berlaku perkara yang tidak dijangka bakal mengganggu rancangan mereka.


"Pelan ini mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan insurans mudah, lancar dan boleh dicapai semua orang. Dengan kehadiran peserta semakin meningkat, kami memastikan bahawa pelanggan dapat menikmati sepenuhnya acara kegemaran tanpa tekanan, kerana tahu mereka ada jaringan keselamatan yang boleh dipercayai," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Tune Protect Malaysia, Jubin Mehta.

 

Beliau menambah, dengan menyepadukan perlindungan lancar ke dalam perjalanan tiket acara, Ticket2U dan Tune Protect menetapkan piawaian industri baharu bagi perlindungan pengguna terhadap kejadian tidak dijangka sambil meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan dengan lebih yakin dan mudah.

 

tune
JUBIN MEHTA


Sementara itu, Pengarah Urusan, Ticket2U, YC Chia berkata, pihaknya memberikan tumpuan terhadap peningkatan pengalaman tiket, dan Ticket Refund Insurance menandakan satu langkah penting ke arah menetapkan piawaian industri baharu. 


Perlindungan ini memberikan pembeli tiket jaminan yang lebih besar, mengetahui mereka dilindungi jika perkara yang tidak dijangka berlaku, di samping mengukuhkan kepercayaan antara penganjur acara dengan peserta.


"Dengan mengurangkan risiko kewangan dan menjadikan pembelian tiket lebih selamat, kami meningkatkan keyakinan pengunjung dalam kehadiran acara dan menyokong pengalaman yang lebih dinamik serta bebas kebimbangan untuk semua,” katanya. 


Bagi penggemar sukan, Sports PA (Insurans Kemalangan Peribadi) turut disediakan sebagai tambahan pilihan, dan memberikan perlindungan kewangan untuk kecederaan akibat kemalangan yang dialami semasa acara berkaitan sukan, memastikan ketenangan fikiran sambil kekal aktif.
 

Insurans itu tersedia untuk semua pelanggan Ticket2U yang membeli tiket untuk pelbagai acara, termasuk konsert, perlawanan sukan, pameran dan festival dengan caj hanya lima peratus daripada harga tiket. 


Pembelian Ticket Refund Insurance adalah pantas dan mudah dengan pengunjung boleh memilih tiket acara di Ticket2U, kemudian memilih ‘Ticket Refund Insurance’ semasa daftar keluar dan melengkapkan pembelian sebelum perlindungan diaktifkan secara automatik.


Proses tuntutan adalah sama lancer dengan pengunjung menyerahkan tuntutan terus kepada Tune Protect melibatkan dokumentasi yang diperlukan sebelum tuntutan diproses, dan bayaran balik yang layak dikeluarkan dengan segera.


Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Ticket Refund Insurance, pengunjung boleh melayari laman web www.ticket2u.com.my dan klik butang “Baca Lagi” pada halaman acara yang layak. - DagangNews.com