KUALA LUMPUR 23 Jan - Tune Protect Group Bhd berjaya melaksanakan pelbagai program tanggungjawab korporat bagi menyerlah dedikasi berterusan kumpulan terhadap pemerkasaan, kemampanan dan perubahan positif komuniti.
Kumpulan itu berkata, sepanjang tahun lalu mereka terlibat dengan pelbagai aktiviti bersama komuniti merentasi pelbagai sektor, menumpukan kepada manfaat sosial, pendidikan, pemuliharaan alam sekitar dan kecelikan digital.
Katanya, pada 2024, usaha kumpulan merangkumi pelbagai inisiatif termasuk kerjasama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru Si Rusa di Port Dickson, Negeri Sembilan bagi meningkatkan sukan dan kecelikan digital, penganjuran klinik bola sepak Battle of the Reds untuk kanak-kanak.
Selain itu kumpulan itu juga terlibat dengan pengagihan juadah berbuka puasa kepada kakitangan beruniform serta berkongsi keceriaan perayaan kepada pesakit hospital dengan kerjasama rakan media, dan mengambil bahagian dalam aktiviti penanaman pokok.

Ketua Pegawai Strategi Tune Protect dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian, Koot Chiew Ling berkata, inisiatif ini menunjukkan dedikasi Tune Protect untuk menyumbang kesan yang bermakna kepada kebajikan sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Pada 2024, kami mengalihkan tumpuan daripada sekadar mencapai angka kepada menyampaikan tindakan bermatlamat yang menghasilkan manfaat yang berkekalan untuk komuniti yang kami santuni.
"Menjangkau komitmen Corporate Good (CG) kami sebanyak 6,000 jam sukarelawan dengan jumlah 7,299 jam dari 2022 hingga 2024 menunjukkan dedikasi dan sifat perhatin pekerja kami.
"Pencapaian ini membuktikan komitmen teguh kami untuk menyepadukan prinsip amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi kami dan memajukan inisiatif serta meninggalkan kesan bermakna merentasi kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara inisiatif utama pada 2024 termasuk kerjasama dengan SK Kampung Baru Si Rusa yang memberi fokus kepada peningkatan sukan dan kecelikan digital terhadap pelajar termasuk menaik taraf kemudahan sukan sekolah serta membaik pulih pusat sumber digital sekolah.
Selain daripada peningkatan infrastruktur, Tune Protect menjalankan satu siri ceramah keselamatan siber, melibatkan lebih 350 pelajar daripada Tahun 4 hingga 6, mengajar mereka kemahiran penting untuk meneroka dunia dalam talian dengan selamat.
Menerusi program The Battle of the Reds, Tune Protect menganjurkan klinik bola sepak di Stadium Nasional Bukit Jalil yang disertai 40 pelajar SK Cohcrane dengan bantuan legenda bola sepak Manchester United dan Liverpool.
Melalui inisiatif Roll Out Iftar, kumpulan itu mengagihkan juadah berbuka puasa melalui program Misi Rakyat Food Riders, 2,000 pek makanan, termasuk murtabak dan kuih ubi boko buatan sendiri telah diagihkan kepada kakitangan beruniform dan penghantar makanan di Shah Alam.
Tune Protect meneruskan usaha mendekati komuniti dengan kerjasama rakan media untuk acara Titipan Kasih Syawal di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani di Cheras, Kuala Lumpur dengan lebih 60 sukarelawan Tune Protect dan 20 sukarelawan daripada rakan media telah bersama-sama menganjurkan sambutan perayaan untuk kanak-kanak.
Koot berkata, Inisiatif CG Tune Protect pada 2024 tertumpu kepada meningkatkan komuniti, memupuk generasi akan datang dan menggalakkan pemeliharaan alam sekitar.

"Inisiatif ini mencerminkan dedikasi Tune Protect untuk meninggalkan kesan yang ketara dan berkekalan. Memandang ke tahun 2025, visi kemampanan kami, ‘In Tune for a Better Tomorrow,’ terus memberikan inspirasi kepada perjalanan kami ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan.
"Bagi membina momentum ini, kami telah menjanjikan 6,000 jam sukarelawan untuk tiga tahun akan datang (2025–2027)," katanya. - DagangNews.com








