Tumpuan sektor utiliti beralih agresif kepada tenaga solar, permintaan ekonomi digital - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tumpuan sektor utiliti beralih agresif kepada tenaga solar, permintaan ekonomi digital - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktRHB Research menjangkakan sektor utiliti memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih agresif kepada tenaga solar serta lonjakan permintaan pusat data dan ekonomi digital.


Perkembangan transformasi landskap ini katanya, dijangka memperkukuh profil pendapatan jangka panjang industri dan membuka laluan kepada pelaburan tenaga boleh diperbaharui (RE) secara besar-besaran.


Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor utiliti, dengan pilihan utama YTL Power International Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Solarvest Holdings Berhad.


"Keadaan positif ini susulan kejelasan dasar dibentangkan dalam Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025 serta peningkatan pesat infrastruktur digital negara," kata RHB Research dalam satu notanya.


Ia merujuk pelaksanaan pelbagai projek solar berskala besar (LSS) fasa 6 dengan kapasiti hampir 2GW dan inisiatif pelaburan swasta sekitar RM6 bilion diumumkan menerusi belanjawan berkenaan.


Jika digabungkan dengan LSS 5 dan LSS 5+, sektor ini dijangka menyumbang lebih 6GW kapasiti tenaga solar kepada grid nasional, membuka potensi kontrak baharu bernilai RM18 bilion sehingga 2028.


Situasi itu kata RHB Research, memberi prospek kukuh kepada kontraktor seperti Solarvest, yang bersedia mengisi tempahan projek dalam tempoh sederhana, sambil meraih manfaat insentif kerajaan.


"Separuh pertama 2025 menyaksikan permintaan elektrik naik 6.5% tahun ke tahun (YoY) dalam sektor komersial, dipacu oleh aktiviti pusat data (DC), perkhidmatan perniagaan dan runcit," jelasnya.


Tambah firma berkenaan, TNB menjangkakan pertumbuhan permintaan antara 2.8% hingga 3.8% bagi tahun ini, berdasarkan rekod paras tertinggi sebanyak 21,049MW yang pernah dicatatkan pada 28 Mei 2025.


RHB Research menilai isu ini sebagai bukti awal perubahan struktur dalam pola penggunaan tenaga, dengan pendigitalan dan kemajuan teknologi memacu permintaan stabil dan berintensiti tinggi.


Sementara itu, menyentuh cukai karbon walaupun masih di peringkat awal perbincangan, ia dijangka diperkenalkan pada akhir 2026, dengan impak ketara terhadap syarikat yang ada jejak karbon besar.


"Antaranya TNB, Malakoff, dan PETRONAS Gas, namun kami menjangka cukai ini akan bersifat progresif bertujuan menggalakkan peralihan kepada RE, bukan menambah drastik hasil kerajaan," katanya lagi.


Jika kos cukai ini dipindahkan kepada pengguna, ia boleh mempercepatkan peralihan korporat kepada tenaga bersih, sekali gus memberi kesan limpahan positif kepada sektor solar dan teknologi hijau.


Dalam pada itu, daripada sembilan syarikat utiliti di bawah liputan RHB Research, lima mencatat keputusan yang sejajar jangkaan, manakala satu mengatasi jangkaan dan tiga di bawah jangkaan. 


Indeks Utiliti Bursa Malaysia (KLUTL) pula jelas firma penyelidikan tersebut, kini diniagakan pada 15.3 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) hadapan, melebihi purata 10 tahun iaitu 13.9 kali.


"Premium ini mencerminkan jangkaan jangka panjang berterusan, disokong permintaan tenaga semakin meningkat secara struktur dan sektor ini berada di landasan pertumbuhan," katanya. - DagangNews.com