Dimensi pertahanan ruang udara negara bakal memasuki fasa baharu apabila pesawat tanpa pemandu MALE UAS ANKA mula digunakan pada Oktober ini.
Aset strategik terkini Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu adalah sebahagian daripada beberapa aset lain yang akan diterima secara berperingkat-peringkat sehingga hujung tahun 2028.
Ketibaan sistem pesawat tanpa pemandu ANKA MALE-UAS bakal memberi impak besar terhadap keupayaan risikan dan pengawasan TUDM, terutamanya di kawasan perairan strategik negara.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kementerian Pertahanan (Mindef) di bawah Pelan Strategik Pembangunan TUDM 2055 (CAP55).

Ia selari dengan hala tuju Kertas Putih Pertahanan yang dilancarkan kerajaan untuk menjamin keselamatan dan kedaulatan Malaysia secara menyeluruh.
Selain ANKA, TUDM akan menerima pesawat tempur ringan (LCA) FA-50M pada tahun 2026 diikuti pesawat rondaan maritim P-72M, radar pertahanan udara generasi baharu dan helikopter pengangkut.
Perkembangan ini turut menyaksikan peralihan kepimpinan TUDM daripada Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan kepada Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.
Mohd Asghar yang bakal bersara pada Disember ini telah menyerahkan pemerintahan kepada Muhamad Norazlan sebagai Panglima TUDM ke-21.

Pengoperasian ANKA MALE-UAS yang merupakan dron tempur berteknologi tinggi oleh TUDM tepat pada masanya dengan landskap peperangan masa hadapan.
Perolehan 3 buah dron ini yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dimeterai pada pameran LIMA 2023 dan bakal ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan
Ia lokasi strategik untuk memantau Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan yang sering menjadi tumpuan kuasa asing dan penting dalam sektor minyak dan gas negara.
TUDM difahamkan m memilih varian ANKA-S, model paling berkeupayaan tinggi dalam siri ANKA yang mampu terbang pada altitud sehingga 30,000 kaki selama 24 hingga 30 jam.
Dron ini boleh membawa beban tempur antara 250 hingga 350 kilogram.


Selain kamera elektro-optik/inframerah (EO/IR), dron ini turut dilengkapi sistem penunjuk dan pengesan laser, IFF (Identification Friend or Foe) dan antena komunikasi satelit ViaSat VR-18C, yang memastikan kawalan operasi melepasi garisan penglihatan biasa.
Lebih penting, ANKA juga mampu melaksanakan misi serangan darat dengan membawa empat peluru berpandu pintar MAM (Mini Akıllı Mühimmat) yang dibangunkan oleh syarikat ROKETSAN.
Ini menjadikannya bukan sahaja dron pengawasan, tetapi juga platform tempur taktikal.
Mengikut perancangan TUDM bakal melaksanakan pembelian tambahan 3 buah lagi dron ANKA pada Rancangan Malaysia Ke-13 iaitu dalam tempoh 2026-2030.


Dengan jumlah 6 buah dron ANKA MALE-UAS ia dilihat seimbang bagi penggunaan di kedua-dua wilayah Semenanjung dan Malaysia Timur.
Perolehan ANKA dan aset-aset utama lain menandakan permulaan era baharu bagi TUDM sebagai sebuah angkatan udara moden.
Ini belum ditambah dengan pengoperasian kira-kira 20 buah pesawat pejuang F/A-18D terpakai Kuwait yang bakal diterima dalam tempoh 2 tahun lagi.

Pembangunan aset tersebut membolehkan TUDM bersedia menangani cabaran strategik di rantau ini.
Dengan pelaksanaan menyeluruh CAP55, Malaysia kini bergerak ke arah menjadi kuasa pertahanan udara yang lebih tangkas, responsif dan berteknologi tinggi.
Ini demi memastikan ruang udara dan kedaulatan negara terus terpelihara. - DagangNews.com







