TUDM dijangka terima pesawat Hornet terpakai Kuwait pada 2027 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TUDM dijangka terima pesawat Hornet terpakai Kuwait pada 2027

Pesawat F/A-18D Hornet milik Kuwait.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

Proses penilaian awal terhadap 38 buah pesawat pejuang F/A-18D Hornet terpakai Kuwait yang ditawarkan kepada TUDM akan dibuat menerusi penghantaran pasukan teknikal ke sana September nanti.

 

Kehadiran kumpulan ini bagi menilai semua dokumen dan rekod mengenai pesawat berkenaan yang dijangka mengambil masa selama tiga minggu.

 

 

 

 

 

 

Perkara tersebut dimaklumkan Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-21 di Pangkalan Udara Subang, Selangor semalam.

 

Katanya, TUDM bersedia menghantar pasukan teknikal ke Kuwait sebagai langkah susulan bagi melengkapkan proses yang diperlukan.

 

Pesawat
Pesawat Hornet terpakai Kuwait yang telah berusia lebih 30 tahun.

 

Difahamkan, pasukan teknikal TUDM telah dibentuk sebaik Amerika Syarikat (AS) sebagai negara pengeluar Hornet ini meluluskan hasrat Malaysia mendapatkan pesawat tersebut.

 

Ini kerana tanpa lampu hijau Washington, Malaysia tidak dibenarkan mengakses data dan rekod pesawat.

 

Washington sebelum ini sudah memberikan kebenaran Pemindahan Pihak Ketiga (TPT) yang diperlukan, satu langkah mandatori bagi penjualan peralatan pertahanan buatan AS di antara dua negara asing.

 

Sekiranya semua prosedur berjalan lancar, TUDM dijangka boleh menerima pesawat Hornet terpakai Kuwait ini pada tahun 2027 secara berperingkat-peringkat.

 

Pesawat

 

Pesawat
Pesawat Hornet TUDM mempunyai keupayaan lebih baik berbanding milik Kuwait.

 

Pesawat

 

Ini kerana Kuwait hanya akan melepaskan aset terpakai tersebut selepas ia menerima pesawat baharu F/A-18F Super Hornet.

 

Justeru, pemeriksaan dan penilaian oleh kumpulan pakar TUDM ini bagi melihat aspek kesesuaian pesawat terutamanya membabitkan isu penyelenggaraan.

 

Sepertimana diketahui, pesawat F/A-18D Hornet terpakai Kuwait berusia lebih 30 tahun iaitu lebih lama berbanding varian sama yang dimiliki TUDM.

 

Sebagai aset terpakai, maka penting untuk TUDM sebagai bakal pengguna seterusnya membuat penelitian dalam segala aspek pada pesawat ini.

 

Walaupun TUDM mempunyai pengalaman dan kemahiran mengoperasikan pesawat Hornet sejak 1995, namun menerima pesawat terpakai adalah berbeza kerana penyelenggaraan pesawat perlu dilakukan untuk mengekalkan operasi pada jangka masa panjang.

 

Pesawat
Menteri Pertahanan, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin melihat pesawat Hornet terpakai Kuwait semasa melakukan lawatan ke sana tahun lalu.

 

Pesawat

 

Walaupun kos sebenar pembelian pesawat Hornet terpakai Kuwait ini belum didedahkan secara rasmi, namun ia dianggarkan melebihi RM100 juta (kira-kira AS$21 juta).

 

Difahamkan pesawat-pesawat tersebut ditawarkan pada harga simbolik kira-kira RM3.7 juta atau AS$900,000 sebuah oleh Kuwait, tetapi tidak termasuk kos lain seperti baik pulih, naik taraf dan perbelanjaan lain yang berkaitan 

 

Memandangkan pesawat itu berusia lebih 30 tahun, maka ia memerlukan penyelenggaraan yang mana ini pastinya menelan kos operasi yang tinggi.

 

Hornet Kuwait pula tidak mempunyai sensor moden, senjata dan keupayaan peperangan elektronik berbanding pesawat yang lebih baharu, malah teknologinya tidak setanding Hornet TUDM.

 

Disebabkan itu, sesetengah penganalisis dan pemerhati pertahanan tempatan berpendapat cadangan untuk mengoperasikan pesawat Hornet terpakai ini sebagai tidak praktikal.

 

Pesawat

 

Ini kerana dengan keadaan sedia ada, pesawat Hornet terpakai Kuwait ini ketinggalan jauh dalam persekitaran ancaman tinggi oleh platform serantau yang lebih moden.

 

Bagaimana pun, cadangan perolehan ini bersifat jangka pendek bagi mengisi keperluan operasi TUDM sementara menunggu rancangan penggantian pesawat pejuang sedia pada tahun 2035.

 

Jumlah pesawat Hornet terpakai yang bakal dimiliki TUDM juga bergantung kepada hasil penilaian pasukan pakar yang akan dihantar ke Kuwait. - DagangNews.com