TSR Capital peroleh kontrak kerja infrastruktur bernilai RM85 juta di Ibrahim Technopolis, Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSR Capital peroleh kontrak kerja infrastruktur bernilai RM85 juta di Ibrahim Technopolis, Johor

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktTSR Capital Berhad memperoleh kontrak bernilai RM85 juta daripada JLG Buildworks Sdn Bhd bagi kerja-kerja infrastruktur di Ibrahim Technopolis (IBTEC), Kulai, Johor.


Kontrak berkenaan diterima menerusi anak syarikatnya, TSR Bina Sdn Bhd, melibatkan pembinaan serta penyempurnaan kerja tanah, sistem perparitan, jalan raya, pembetungan dan rangkaian air.


Katanya, syarikat tersebut juga terlibat dalam kerja-kerja berkaitan yang lain di kawasan pembangunan strategik berkenaan dengan tempoh projek dijangka siap sepenuhnya menjelang suku ketiga 2027.


"TSR Capital menjangkakan pelaksanaan kontrak ini memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Pihak lembaga pengarah syarikat berkenaan juga tambahnya, tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa disebabkan kerja-kerja itu selain daripada risiko operasi biasa dalam projek pembinaan. 


Bagaimanapun jelas kumpulan tersebut, risiko berkenaan dijangka dapat diuruskan dengan lancar menerusi pelbagai rangka kerja kawalan secara dalaman dan pelan pengurusan risiko sedia ada.


Tambah TSR Capital, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan yang mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak baharu berkenaan.


"Lembaga Pengarah turut menegaskan yang penerimaan kontrak pada kali ini adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan para pemegang saham," kata kumpulan tersebut.


Selain itu jelasnya, kontrak kerja-kerja di IBTEC tersebut tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan. - DagangNews.com