TSH Resources bubar secara sukarela CocoaHouse Industries setelah lama tidak aktif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TSH Resources bubar secara sukarela CocoaHouse Industries setelah lama tidak aktif

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 NovTSH Resources Berhad membubarkan anak syarikatnya, CocoaHouse Industries Sdn Bhd, setelah ia didapati sudah lama tidak aktif dalam perniagaannya.


Kumpulan tersebut berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat terakhir subsidiari berkenaan pada 5 November 2025 bagi proses pembubaran secara sukarela oleh pemegang saham.


Katanya, pegawai likuidasi akan mengemukakan laporan serta salinan akaun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pihak berkaitan dalam tempoh tujuh hari selepas mesyuarat itu.


"Langkah penutupan syarikat berkenaan turut selaras dengan peruntukan Seksyen 459(3) Akta Syarikat 2016," kata TSH Resources dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


CocoaHouse Industries ditubuhkan pada 10 Oktober 1988, dijangka dibubarkan sepenuhnya tiga bulan selepas laporan oleh pelikuidasi dan mengakhiri operasi syarikat itu secara rasmi.


Penutupan subsidiari berkenaan yang beralamat di Pelabuhan Klang, Selangor ini sejajar pengumuman awal TSH Resources pada 2 Januari 2025 mengenai pembubaran sukarela tersebut.


Syarikat itu terlibat dalam pemprosesan dan pemasaran produk koko, tetapi dalam laporan tahunan memaklumkan yang ia menjadi entiti 'dormant' dan aktiviti pemprosesan ditamatkan


Ia juga tidak mempunyai sebarang ladang tanaman koko secara komersial seperti kelaziman dilaksanakan oleh syarikat produk komoditi berkenaan.  - DagangNews.com