KUALA LUMPUR 13 April – TSH Resources Berhad mengambil alih kepentingan dalam PT Dinamika Alam Segar (PT DAS) dan Konsep Majureka Sdn Bhd (KMSB), dengan jumlah pertimbangan RM36.31 juta.
Kumpulan itu berkata, anak syarikat tidak langsungnya, PT Sarana Prima Multi Niaga (PT SPMN), memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat untuk mengambil alih sebanyak 99.99% ekuiti dalam PT DAS.
Ia dibeli daripada Bambang Suparno dengan nilai 5.5 bilion rupiah (kira-kira RM1.3 juta), manakala baki 0.00004% ekuiti diambil alih sebuah lagi anak syarikat, PT Mitra Jaya Cemerlang (PT MJC).
"PT DAS merupakan syarikat Indonesia dan terlibat dalam aktiviti perladangan kelapa sawit dengan kawasan tanaman seluas 787 hektar di wilayah Kalimantan Tengah," maklum TSH kepada Bursa Malaysia.
Selain itu, kumpulan tersebut memeterai perjanjian pengambilalihan 100% ekuiti dalam KMSB daripada Pengerusi dan pemegang saham utama, Kelvin Tan Aik Pen, serta Tan Aik Sim berjumlah RM35.03 juta.
Nilai pertimbangan tersebut katanya, merangkumi harga belian saham sebanyak RM22 juta dan andaian liabiliti yang berjumlah RM13.03 juta serta perlu dijelaskan kepada kedua-dua vendor tersebut.
KMSB melalui pegangan 90% dalam PT Katingan Mitra Sejati (PT KMS) memiliki kawasan perladangan juga di wilayah Kalimantan Tengah dengan 3,512 hektar kawasan yang boleh ditanam di bawah Fasa I.
"Langkah pengambilalihan ini bertujuan meningkatkan keluasan kawasan perladangan kumpulan di Indonesia serta mencapai penyelarasan sumber pengurusan dan pentadbiran lebih baik," jelas TSH.
Kedudukan tanah PT DAS dan PT KMS yang strategik berhampiran dengan ladang sedia ada kumpulan itu dijangka dapat menjimatkan kos operasi serta menyokong penubuhan kilang pemprosesan buah sawit.
Proses urus niaga pengambilalihan itu ujarnya, dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan (RPT) memandangkan penglibatan vendor yang mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut sendiri.
Bagaimanapun kata TSH, cadangan ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa, dengan kesemua pemerolehan tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman kumpulan itu.
"RPT ini dijangka siap pada separuh kedua 2026, transaksi itu tidak memberi kesan material kepada aset bersih atau pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," ujarnya.
Sebaliknya menurut kumpulan berkenaan, pihak pengurusan berpandangan usaha tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat pada masa hadapan. - DagangNews.com








